SHAH ALAM, 25 Mei (Bernama) -- Kompleks perniagaan baharu di Seksyen 24, di sini yang bakal menggantikan pusat niaga Uptown Shah Alam dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini.
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam kenyataan memaklumkan pembangunan berkonsepkan Bugis Moden itu, akan menempatkan kira-kira 400 peniaga, selain menawarkan pelbagai kemudahan moden dan mesra alam demi meningkatkan keselesaan pengunjung serta peniaga.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha PKNS, dalam memperkukuh pembangunan bandar Shah Alam di samping mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih moden, tersusun dan kondusif kepada komuniti setempat.
“Projek tersebut kini hampir siap sepenuhnya dan PKNS sedang dalam proses mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan kompleks itu turut dijangka menjadi pemangkin baharu kepada aktiviti perniagaan serta tarikan pengunjung ke Shah Alam.
“Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha PKNS dalam memperkukuh pembangunan bandar Shah Alam, di samping mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih moden, tersusun dan kondusif kepada komuniti setempat,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan PKNS, Uptown Shah Alam yang telah beroperasi lebih 10 tahun di bawah pengurusan PKNS, kini menjadi antara lokasi tumpuan utama dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung setiap minggu.
Justeru pembangunan baharu itu dijangka mampu meningkatkan lagi daya tarikan Shah Alam serta memperluas peluang ekonomi kepada peniaga tempatan.
“Bangunan dua tingkat berhampiran kawasan Uptown Shah Alam itu akan menempatkan 440 lot gerai kering dan 20 lot gerai makan yang lebih selamat serta tersusun.
“Ia turut dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk tandas, surau, pentas, lif, eskalator, lebih 300 lot parkir serta kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU),” menurut kenyataan itu.
Selaras dengan komitmen PKNS terhadap kelestarian, kompleks tersebut turut dilengkapi sistem penuaian air hujan, ventilasi semula jadi, pengurusan sisa bagi gerai makanan serta ruang hijau di dalam dan luar bangunan.
Selain itu, ruang komuniti seperti pentas, kawasan lapang dan ruang legar turut disediakan bagi mewujudkan suasana yang lebih selesa kepada pengunjung.
Bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik, pengunjung boleh menggunakan laluan baharu di Jalan Pudina 24/41 yang menghubungkan Masjid Al-Ehsan dan Kompleks Warga Emas, selain laluan sedia ada di Persiaran Sultan.
-- BERNAMA
