AM

RUMAH MAMPU MILIK JOHOR TUNAI IMPIAN RAKYAT MILIKI KEDIAMAN SENDIRI

26/05/2026 03:00 PM

PONTIAN, 26 Mei (Bernama) -- Hasrat seorang pekerja am kilang untuk melihat nama tercetak pada geran rumah sejak 30 tahun lepas akhirnya menjadi kenyataan apabila dia dipilih sebagai antara penerima manfaat Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Taman Rimba Indah, di sini.

K. Anandi, 56, yang hampir berputus asa selepas lebih 10 permohonannya gagal sebelum ini, meluahkan rasa syukur apabila usahanya pada Julai tahun lepas mendapat kelulusan Kerajaan Negeri Johor.

Wanita itu berkata dengan adanya rumah teres berkeluasan 868 kaki persegi yang dilengkapi tiga bilik tidur itu, dia tidak lagi perlu menumpang di kediaman abangnya K. Selvananth, 58, yang dilakukannya sejak puluhan tahun lepas.

 “Saya telah berkali-kali memohon tetapi kecewa kerana gagal atas alasan dokumen tidak mencukupi. Namun pada permohonan kali ini, saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor dan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Harga RMMJ sangat berpatutan, iaitu RM80,000 dan bayaran bulanan juga tidak membebankan. Ia sememangnya mampu milik bagi golongan B40 seperti saya untuk memiliki rumah pertama setelah sekian lama menunggu,” katanya.

Anandi berkata demikian ketika ditemui Bernama pada Majlis Penyerahan RMMJ Taman Rimba Indah  yang dibangunkan Marcus Property Sdn Bhd melibatkan 86 rumah berkeluasan 868 kaki persegi dengan harga permulaan RM80,000.

Bagi pasangan muda, Ezzanur Ameera Nasaruddin, 27, dan suami Mohd Nor Ezzafi Md Othman, 29, status sebagai penerima manfaat RMMJ membolehkan mereka keluar daripada belenggu komitmen sewa rumah yang tinggi.

Ezzanur Ameera berkata harga rumah yang ditawarkan jauh lebih rendah berbanding harga pasaran selepas mengambil kira subsidi dan bantuan daripada Kerajaan Negeri Johor.

“Sebelum ini kami menyewa dengan kadar RM700 sebulan tetapi selepas berpindah ke rumah sendiri, kami hanya membayar ansuran bulanan kira-kira RM400. Lebihan RM300 itu penjimatan besar yang boleh digunakan untuk keperluan lain,” katanya.

Ezzanur Ameera turut memuji proses permohonan kini yang jauh lebih mudah dan mesra pengguna kerana boleh dilakukan secara dalam talian.

Wanita itu berkata hanya perlu memuat naik dokumen asas seperti salinan kad pengenalan, slip gaji, penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), surat pengesahan majikan dan sijil nikah dalam permohonan rumah itu.

“Sangat berbeza berbanding pengalaman pertama saya memohon pada 2022. Ketika itu, dokumen yang diperlukan terlalu banyak, kos dokumentasi agak membebankan dan kami perlu hadir secara fizikal di Johor Bahru untuk urusan penyerahan,” kata pekerja sektor swasta itu.

Kelegaan sama turut dikongsi kerani Sim Jia Chee, 27, yang mengakui terkejut apabila permohonan RMMJ yang dibuat buat pertama kali pada tahun lepas diluluskan.

Sim yang bakal berpindah dalam masa terdekat selepas menerima kunci daripada pemaju berkata kadar ansuran RMMJ kira-kira RM400 sebulan itu jauh lebih rendah berbanding kadar sewa bulanan rumah lamanya yang mencecah RM600.

“Sebelum ini, saya pernah merujuk ejen jualan untuk membeli rumah di pasaran terbuka, namun diberitahu tidak layak kerana komitmen bulanan yang tinggi sekitar RM900 hingga RM1,800 sebulan.

“Malah, saya dimaklumkan ada kos tambahan tersembunyi mencecah RM10,000 termasuk yuran guaman. Berbeza dengan RMMJ, sebahagian kos urusan pembelian ditanggung atau dipermudah oleh kerajaan negeri,” katanya dan menambah dirinya sudah boleh mula menabung untuk masa depan yang lebih stabil.

Program RMMJ antara inisiatif strategik Kerajaan Negeri Johor dengan pihak pemaju bagi membuka peluang kepada golongan B40, M40, pasangan muda dan pembeli rumah pertama memiliki kediaman sendiri pada harga mampu milik dengan harga jualan bermula daripada RM80,000 hingga RM300,000.

Berdasarkan data prestasi perumahan negeri, bagi tempoh 2022 sehingga suku pertama 2026, sebanyak 49,603 unit RMMJ telah berjaya dirancang. 

Daripada jumlah itu, 21,412 unit telah siap dibina sepenuhnya dan diserahkan kepada pemilik.

Kerajaan Negeri Johor kekal optimis untuk memastikan sebanyak 30,000 unit RMMJ siap menjelang suku keempat 2026 sebelum mencapai sasaran menyeluruh sebanyak 100,000 unit menjelang 2030.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan