GEORGE TOWN, 27 Mei (Bernama) -- Sambutan Aidiladha tahun ini membawa kegembiraan kepada komuniti nelayan di selatan Pulau Pinang apabila mereka menerima bot dan enjin berkuasa tinggi baharu bagi membantu mereka mencari rezeki di laut.
Sempena sambutan Aidiladha yang sinonim dengan pengorbanan dan kesyukuran, bantuan itu nyata memberi makna cukup besar kepada nelayan yang sekian lama bergantung kepada hasil laut untuk menyara keluarga.
Penyerahan aset itu sebahagian daripada Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah projek Pulau Silikon yang bertujuan melengkapkan 294 nelayan yang layak dengan aset perikanan yang dinaik taraf menjelang 2027.
Nelayan veteran unit Sungai Batu Che Anuar Puteh, 64, berkata aset itu diterima selepas ulang tahun kelahirannya dan pemberian tersebut cukup menyentuh dirinya yang telah bergelar nelayan selama lebih empat dekad.
“Bot baharu ini seperti hadiah hari jadi dan ia sebenarnya rezeki daripada Tuhan kerana keluarga kami bergantung kepada hasil laut untuk meneruskan kehidupan termasuk dua anak lelaki yang juga nelayan,” katanya.
Che Anuar berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan aset itu oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas Datuk Azrul Mahathir Aziz di sini.
Kegembiraan sama dirasai Yeoh Mah Kee, 78, dari Gertak Sanggul yang menyifatkan bot dan enjin baharu itu bukan sekadar aset, tetapi juga memberikan kelegaan besar selepas bertahun-tahun menanggung kos membaiki enjin lama.
“Sebelum ini saya menggunakan enjin 60 kuasa kuda yang memerlukan penyelenggaraan dan pembaikan berterusan dengan kos untuk menjaganya sangat tinggi,” katanya.
Nelayan dari Sungai Batu Mohamad Shafiq Rostam, 28, menyifatkan penerimaan aset baharu itu sebagai sokongan untuk dirinya yang memilih terus bergiat dalam bidang itu selepas bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung lima tahun lepas.
Selain bantuan bot dan enjin baharu, komuniti nelayan setempat turut disantuni menerusi program komuniti anjuran Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) melibatkan sumbangan ayam segar kepada 70 keluarga bersempena dengan Aidiladha pada Isnin lepas.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PICSB) Datuk Seri Farizan Darus berkata sehingga kini, sebanyak 158 nelayan telah menerima bot baharu lengkap dengan enjin berkuasa tinggi manakala 795 daripada 877 nelayan berdaftar telah menerima bayaran ex-gratia berjumlah RM11.84 juta.
Pulau Silikon yang berkeluasan 930.78 hektar, ialah projek penambakan milik Pulau Pinang yang menyaksikan buat kali pertama, kerajaan negeri membangunkan sebuah projek tambakan secara langsung untuk menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
-- BERNAMA
