AM

KILANG KAYU PALET MUSNAH DALAM KEBAKARAN DI KEMPAS

29/05/2026 03:40 PM

JOHOR BAHRU, 29 Mei (Bernama) -- Sebuah kilang kayu palet berstruktur separuh terbuka di Taman Perindustrian Maju Jaya, Kempas di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi, 

Pegawai Pengurusan Operasi Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor (JBPM) Penguasa Bomba Muhammad Zaharul Asyraf  Zaharin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9 pagi sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas tiba di lokasi kira-kira lapan minit kemudian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kebakaran melibatkan keluasan keseluruhan 45.7 x 60.9 meter dengan proses pemadaman masih berjalan setakat 12 tengah hari tadi.

“Kebakaran bermula dari kawasan tengah tetapi siasatan akan diteruskan selepas pemadaman berjaya dilaksanakan dan tiada mangsa berada di dalam premis ketika kejadian berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Muhammad Zaharul Asyraf berkata operasi pemadaman berdepan kesukaran akibat masalah tekanan air rendah  dan pihaknya telah menghubungi  Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) bagi meningkatkan tekanan air serta membantu kelancaran operasi.

Beliau berkata 44 pegawai dan anggota dari BBP Kempas, Larkin, Skudai, Johor Jaya, Tebrau, dan Pontian, bersama logistik merangkumi lima jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah lori tangki air menyertai operasi berkenaan.

Mengenai bunyi letupan kecil yang kedengaran di lokasi, beliau berkata ia berpunca daripada tindak balas struktur bumbung bangunan yang mula merungkai akibat haba melampau.

Beliau berkata punca sebenar kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan