AM

MEDIA DALAM ERA AI: MASIH RELEVANKAH 'HOUSE STYLE'?

30/05/2026 11:29 AM

KUALA LUMPUR, 30  Mei (Bernama) -- Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada 29 Mei bukan sahaja meraikan pengamal media, malah membuka perbincangan baharu mengenai cabaran industri kewartawanan, khususnya sejauh mana house style masih mampu kekal sebagai identiti utama organisasi media dalam era kecerdasan buatan (AI).

Perkembangan teknologi AI kini bukan sahaja mempercepatkan penghasilan kandungan berita, malah menimbulkan kebimbangan apabila sistem berasaskan algoritma itu berupaya meniru gaya penulisan, struktur laporan serta identiti editorial yang selama ini menjadi asas perbezaan antara organisasi media.

Situasi ini menimbulkan cabaran baharu mengenai sejauh mana house style masih relevan sebagai identiti utama atau perlu berubah menjadi kerangka yang lebih fleksibel mengikut keperluan platform digital dan tabiat pengguna.

Bekas Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata industri media tidak lagi boleh terlalu bergantung kepada house style semata-mata jika mahu kekal relevan dalam landskap media yang semakin kompetitif.

Menurutnya, keupayaan memahami kehendak audiens serta menghasilkan kandungan yang benar-benar memberi nilai kepada pembaca kini menjadi faktor utama kelangsungan organisasi media.

“Pada saya, relevan itu ialah mengetahui apa yang dimahukan pasaran dan bagaimana kita memberikan apa yang mereka hendak. Kita terlalu fikirkan house style, tetapi yang penting ialah sama ada berita itu boleh dijual atau tidak,” katanya kepada Bernama.

Suhaimi yang sebelum ini merupakan Pengerusi Bernama berkata house style masih penting sebagai panduan editorial bagi memastikan laporan lebih lengkap dan konsisten, namun pendekatan itu perlu lebih fleksibel mengikut platform serta cara masyarakat mendapatkan maklumat.

Mengambil contoh ketika menerajui RTM, beliau berkata transformasi format termasuk berita ringkas serta pengukuhan kandungan digital berjaya menarik khalayak baharu dan meningkatkan capaian penonton.

“Kalau kita terlalu terikat dengan house style dan enggan berubah, kita mungkin menghasilkan laporan yang baik tetapi akhirnya tiada siapa membacanya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong berpandangan house style masih relevan sebagai kerangka editorial, namun tidak seharusnya menjadi penghalang kepada inovasi penyampaian berita.

Beliau berkata cabaran utama media hari ini ialah memastikan kandungan lebih dekat dengan kehidupan pembaca, bukan sekadar bergantung kepada kenyataan rasmi pihak berkuasa.

Menurutnya, pendekatan pelaporan yang terlalu rutin perlu diubah supaya lebih memberi makna kepada audiens, khususnya dalam menjelaskan kesan sesuatu isu terhadap kehidupan mereka.

“Misalnya berita projek rumah terbengkalai. Jika hanya melaporkan gesaan kerajaan kepada pemaju atau PBT, rakyat mungkin tidak berminat untuk membaca kerana tiada kaitan langsung dengan kehidupan mereka,” katanya.

Beliau berkata gaya penyampaian perlu diubah dengan menekankan impak sebenar terhadap rakyat, seperti kerugian pembeli atau kos tambahan akibat projek tidak siap.

Beliau berkata perubahan corak penggunaan berita hari ini turut menuntut wartawan dan editor berfikir melangkaui format tradisional serta sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan landskap industri agar kekal relevan.

Yong yang juga bekas Ketua Pengarang dan Pengurus Besar Bernama turut menegaskan kepentingan peningkatan kemahiran dalam kalangan wartawan bagi memastikan penyampaian berita lebih berkesan dalam persaingan media masa kini.

Sementara itu, HAWANA 2026 dijadual berlangsung pada 20 Jun di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, Pulau Pinang, dengan tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”. Majlis kemuncak anjuran Kementerian Komunikasi menerusi Bernama itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan