AM

PERTAMBAHAN MUZIUM BUKAN LAMBAKAN, PULAU PINANG FOKUS "NICHE" ELAK TINDIH KONSEP

31/05/2026 05:05 PM

Oleh R.Ratcharathan

GEORGE TOWN, 31 Mei (Bernama) -- Di sebalik reputasi sebagai syurga makanan dan destinasi warisan dunia, Pulau Pinang kini melalui satu lagi transformasi dalam landskap pelancongan dengan menyaksikan kemunculan banyak muzium dan galeri baharu yang menampilkan pelbagai tema dan konsep.

Bagaimanapun, pertambahan institusi permuziuman itu menimbulkan persoalan sama ada perkembangan tersebut mencerminkan pertumbuhan sihat yang mampu memperkukuh sektor pelancongan atau petanda berlakunya lambakan produk pelancongan yang berisiko mewujudkan pertindihan konsep.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata kerajaan negeri melihat pertambahan muzium dan galeri sebagai satu perkembangan positif selagi pertumbuhan itu disertai perancangan yang baik, mematuhi piawaian pengoperasian serta mempunyai identiti yang jelas.

“Kehadiran muzium serta galeri baharu memberi lebih banyak pilihan dan mampu memanjangkan tempoh pelancong untuk berada di negeri ini, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.

“Namun, kerajaan negeri akan memastikan pertumbuhan ini tidak berlaku secara tidak terkawal. Isu sebenar bukan soal jumlah semata-mata tetapi kualiti, keunikan kandungan dan bagaimana institusi ini saling melengkapi dalam memperkukuh ekosistem pelancongan serta warisan budaya negeri,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama di sini.

Wong berkata setiap cadangan penubuhan muzium atau galeri baharu dinilai dari segi konsep, kandungan dan potensi pasaran bagi mengelakkan pertindihan yang boleh menjejaskan daya tarikan keseluruhan industri.

Beliau berkata setiap muzium perlu mempunyai “niche” dan kekuatan tersendiri sama ada dalam bidang sejarah, seni kontemporari, warisan komuniti, teknologi mahupun pengalaman interaktif supaya dapat menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung.

 “Identiti ini penting kerana pelancong mencari pengalaman yang berbeza dan keaslian, bukan sekadar melihat pameran yang hampir serupa di beberapa lokasi. Selain itu kerjasama dengan penggiat seni, ahli akademik dan komuniti setempat turut diberi perhatian bagi memastikan kandungan muzium lebih asli serta mempunyai nilai tempatan yang kuat,” katanya.

Beliau menjelaskan aspek inovasi turut ditekankan melalui penggunaan teknologi digital, elemen interaktif dan pendekatan penceritaan yang lebih kreatif agar setiap muzium menawarkan pengalaman yang unik kepada pengunjung.

Mengenai keberkesanan muzium bertema seperti automotif, feri dan muzium interaktif dalam menarik pelancong, beliau berkata penilaian dibuat berdasarkan pelbagai indikator termasuk jumlah pelawat, profil pengunjung, tempoh lawatan, maklum balas pengunjung dan impak ekonomi yang diwujudkan kepada kawasan sekitar.

Wong berkata setakat ini hanya dua muzium swasta telah menerima kelulusan rasmi kerajaan negeri di bawah peruntukan Enakmen Lembaga Muzium (Negeri Pulau Pinang) iaitu Penang Strait Oriental Museum dan Penang Ferry Museum.

Beliau berkata beberapa galeri baharu turut mewarnai landskap pelancongan budaya negeri termasuk Penang History Gallery, Galeri Arkeologi Guar Kepah, Galeri Automotif, Galeri Edgecliff di Bukit Bendera, Penang Indian Heritage Gallery and Cultural Centre serta Galeri Seghbni Lin Xiang Xiong.

Menyentuh kemungkinan kerajaan negeri mengehadkan kelulusan muzium baharu pada masa depan, beliau memaklumkan tiada cadangan untuk berbuat demikian tetapi ia akan dinilai secara teliti dari sudut kesesuaian konsep, bahan koleksi yang dipamerkan, nilai sejarah, pendidikan dan patuh kepada kod etika Majlis Muzium Antarabangsa(ICOM).

“Pendekatan kerajaan negeri adalah mengawal melalui perancangan dan penilaian strategik, bukannya mengehadkan pembangunan secara umum dan kerajaan negeri mahu memastikan pembangunan muzium berlaku secara berkualiti, bukan sekadar menambah bilangan semata-mata,” katanya.

Pada masa sama, Wong berkata pindaan Enakmen Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang 2026 pada 14 Mei lepas, bertujuan memperkukuh aspek tadbir urus, pemantauan dan standard operasi muzium di negeri itu, termasuk melalui pewujudan bahagian penguatkuasaan yang lebih komprehensif.

Melalui pindaan itu, katanya kerajaan negeri juga dapat memperkasa serta memperkemaskan garis panduan berkaitan pendaftaran, pengurusan koleksi, aspek keselamatan artifak, pemeliharaan warisan serta kualiti pengalaman pengunjung termasuk memastikan muzium swasta mematuhi standard kod etika ICOM.

Beliau berkata antara dokumen yang perlu dikemukakan bagi permohonan penubuhan muzium swasta ialah sijil pendaftaran organisasi atau syarikat, profil syarikat, senarai artifak dan koleksi, prosedur operasi standard (SOP), pelan penjanaan pendapatan serta dokumen sokongan berkaitan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan