AM

HAWANA 2026: IPPTAR TERUS PERKASA PENGAMAL MEDIA DALAM ERA DIGITAL

03/06/2026 10:07 AM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Dalam era kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat, pengamal media masa kini perlu melangkaui peranan tradisional sebagai pelapor berita dengan menguasai pelbagai kemahiran digital bagi memastikan penyampaian maklumat kekal relevan dan berkesan.

Keperluan itu turut dicerminkan menerusi tema Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, yang menekankan kepentingan organisasi menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi tanpa mengabaikan prinsip kewartawanan.

Menyedari hakikat itu, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) terus memperkukuh peranannya dalam memastikan pengamal media, khususnya yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia, kekal berdaya saing menerusi pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran berkaitan teknologi baharu.

Pengarah IPPTAR Datuk Roslan Ariffin berkata langkah itu selari dengan cabaran semasa industri media yang berdepan perubahan besar dalam kaedah penyampaian maklumat susulan perkembangan pesat teknologi digital dan AI.

Beliau berkata sejak 2024, IPPTAR telah memperluas fungsinya daripada hanya memberi tumpuan kepada sektor penyiaran dan penerangan kepada seluruh ekosistem media menerusi slogan “IPPTAR for All”.

“Pada 2024, kita mula memberi penekanan bagaimana IPPTAR boleh membantu industri media dan wartawan yang berdepan cabaran baharu untuk menerapkan teknologi digital dalam tugasan harian serta memastikan industri media terus bertahan dalam era baharu ini apabila AI mula mendapat perhatian pada 2023,” katanya dalam temu bual eksklusif sempena sambutan HAWANA 2026.

Roslan berkata kira-kira 25 peratus daripada 80 kursus yang dianjurkan IPPTAR setiap tahun kini memberi fokus kepada penggunaan AI, teknologi digital dan media sosial bagi membantu pengamal media meningkatkan kecekapan serta produktiviti kerja.

Beliau berkata latihan berkenaan melibatkan wartawan, jurugambar, penyunting, pereka grafik dan petugas bilik berita supaya mereka mampu menyesuaikan diri dengan keperluan industri yang sentiasa berkembang.

“Contohnya, IPPTAR cuba mengajar bagaimana seorang wartawan bukan sahaja menjadi wartawan, tetapi juga wartawan digital yang mampu menghasilkan grafik sendiri dan menguasai pelbagai kemahiran tambahan supaya menjadi lebih lengkap dari segi persediaan sebelum membuat liputan, semasa berada di lapangan dan menghasilkan berita,” kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu.

Beliau berkata latihan berkenaan turut diperluas ke luar Lembah Klang termasuk Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak bagi membolehkan lebih ramai pengamal media mendapat akses kepada latihan berkaitan teknologi dan digital.

Bagi memastikan teknologi baharu khususnya AI dimanfaatkan secara bertanggungjawab serta selaras dengan prinsip kewartawanan, Roslan berkata IPPTAR bekerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi membangunkan garis panduan dan etika penggunaan AI dalam kewartawanan.

Selain program latihan yang dilaksanakan IPPTAR, beliau berkata usaha memperkukuh daya tahan industri media turut diperkasakan menerusi Dana Inovasi Media yang diperkenalkan Kementerian Komunikasi dengan peruntukan RM30 juta, merangkumi skop latihan, peralatan, perisian serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Kita memastikan semua yang memohon dana ini mesti memenuhi skop latihan. Tujuannya adalah untuk memastikan wartawan dan pengamal media terus diberikan latihan serta peningkatan ilmu yang diperlukan oleh industri,” katanya.

Beliau turut berharap Kementerian Komunikasi dapat meneruskan sokongan menerusi dana berkenaan bagi membantu industri media tempatan kekal berdaya saing dan mencapai standard antarabangsa, khususnya ketika organisasi media berdepan tekanan kewangan akibat kemerosotan pendapatan pengiklanan serta cabaran peralihan digital.

“Tambahan pula, kita melihat banyak negara memberi penekanan kepada pembangunan digital media kerana itulah corak masa depan industri sebab jika dahulu penyiaran bergantung kepada televisyen dan akhbar kepada edisi cetak, kini kebanyakan pengguna mendapatkan maklumat menerusi telefon pintar dan platform digital,” katanya.

Sementara itu, Roslan berkata IPPTAR bersama Kementerian Komunikasi turut meneliti kemungkinan membenarkan syarikat media yang pernah menerima dana berkenaan sebelum ini mengemukakan permohonan semula pada fasa akan datang berdasarkan keperluan semasa industri.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Komunikasi Tek Nie Ching berkata sebanyak RM20.14 juta atau 67.1 peratus daripada keseluruhan peruntukan RM30 juta Dana Inovasi Media telah diluluskan, memanfaatkan 60 organisasi media di seluruh negara, manakala baki RM9.86 juta akan disalurkan menerusi fasa-fasa seterusnya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan