PORT DICKSON, 3 Jun (Bernama) -- Pantai Tanjung Biru atau dikenali sebagai Blue Lagoon kini semakin mendapat perhatian pengunjung selepas keindahan dan kejernihan air lautnya tular di media sosial baru-baru ini.
Fenomena itu bukan sahaja menarik kehadiran pengunjung tempatan, malah pelancong antarabangsa yang ingin menyaksikan sendiri keunikan pantai berkenaan, khususnya semasa cuti panjang baru-baru ini.
Tinjauan Bernama mendapati kawasan pantai yang terkenal dengan pasir putih, pesisir landai dan panorama laut memukau itu, dipenuhi pengunjung seawal pagi dengan ramai mengambil peluang bermandi-manda, berkelah serta merakam gambar kenangan.
Rata-rata pengunjung menyifatkan kejernihan air laut di Pantai Tanjung Biru sebagai antara yang terbaik, sekali gus meletakkannya sebaris dengan beberapa pantai terkenal di tanah air.
Bagi suri rumah, Ramlah Abd Malek, 45, kunjungannya bersama keluarga dari Melaka ke pantai itu ternyata berbaloi selepas hanya melihat keindahannya menerusi perkongsian di media sosial, sebelum ini.
"Sebelum ini kami selalu ke Pantai Telok Kemang, tetapi selepas melihat gambar dan video Blue Lagoon yang tular, kami teruja untuk datang sendiri. Memang cantik dan bersih, malah air lautnya sangat jernih sehingga dasar pantai yang cetek boleh dilihat dengan jelas dan nampak anak-anak ikan.
“Anak-anak saya sangat seronok mandi dan bermain di sini," katanya yang berharap keindahan semula jadi pantai itu dapat terus dipelihara agar kekal menjadi tarikan pelancongan.
Pekerja swasta Mohd Marzuki Hassan, 43, berkata beliau sanggup memandu hampir dua jam dari Selangor dengan membawa ahli keluarganya selepas tertarik dengan paparan gambar dan video kejernihan air laut di kawasan berkenaan.
Beliau yang pernah datang ke pantai itu dua tahun lepas menyifatkan keadaan di situ kini jauh berubah apabila kawasan pantai di situ lebih bersih, mempunyai kemudahan tandas yang baik, berbanding dipenuhi sisa kayu dan arang hitam di tepian pantai sebelum ini.
“Jika kebersihan dan keindahan alam semula jadi ini terus dijaga, saya yakin Pantai Tanjung Biru mampu muncul sebagai antara destinasi pantai pilihan utama pelancong domestik," kata bapa kepada dua cahaya mata itu.
Sementara itu, limpahan pengunjung turut membawa manfaat ekonomi kepada komuniti setempat, khususnya peniaga kecil dan pengusaha aktiviti rekreasi air.
Bagi peniaga, Muhamad Asyraf Muhamad, 32, peningkatan jumlah pengunjung sejak fenomena air jernih di Blue Lagoon tular, telah membantu meningkatkan pendapatan harian mereka dengan aktiviti seperti banana bot, kayak dan jet ski mendapat sambutan tinggi.
"Ketika cuti sekolah, kehadiran pengunjung memang ketara. Pendapatan boleh mencecah lebih RM300 sehari bergantung kepada jumlah pelancong. Pada hari biasa, kadang-kadang hendak dapat RM100 pun agak sukar," katanya.
Keindahan Pantai Tanjung Biru mula menjadi perbualan hangat di media sosial selepas pelbagai gambar dan video memaparkan kejernihan luar biasa air laut di kawasan itu dikongsi secara meluas, sekali gus mengubahnya daripada lokasi rekreasi biasa kepada destinasi yang kini menjadi buruan pencinta pantai dari seluruh negara.
-- BERNAMA
