SABAK BERNAM, 3 Jun (Bernama) -- Kawasan ekopelancongan Pantai Bumi Hijau di sini kini bersedia sepenuhnya untuk menerima kunjungan pelancong domestik dan antarabangsa susulan pelaksanaan pelbagai projek naik taraf infrastruktur yang dibiayai menerusi geran sepadan kerajaan negeri berjumlah RM1 juta.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor Datuk Rizam Ismail berkata usaha memperkasakan destinasi pelancongan baharu itu merupakan antara pengisian utama Program Gagasan Rumpun Selangor bagi daerah Sabak Bernam, lokasi ketiga siri jelajah berkenaan selepas daerah Petaling dan Hulu Langat.
“Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari telah memperuntukkan geran sepadan sebanyak RM1 juta bagi membangunkan infrastruktur di Pantai Bumi Hijau ini bagi memastikan keselesaan maksimum kepada pengunjung.
“Pelbagai kemudahan fizikal telah dibina termasuk penambahan fasiliti tandas awam, tempat mandi yang mengekalkan ciri tradisional, gerai jualan, laluan sehala yang sistematik hasil kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) serta penyediaan tapak parkir karavan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Sabak Bernam 2026 di Pantai Bumi Hijau yang turut menyaksikan keberangkatan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan pasangan baginda, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz melakukan aktiviti riadah dan bermalam menggunakan karavan.
Rizam berkata sektor pelancongan di kawasan berkenaan mencatatkan sambutan luar jangkaan apabila mula menjadi tumpuan orang ramai pada setiap hujung minggu khususnya musim cuti sekolah.
“Kehadiran pelancong pada waktu puncak mencecah lebih 3,000 orang dari petang hingga ke malam kerana keunikan kawasan ini yang menawarkan aktiviti mencari remis sepanjang tahun, menunggang kuda, kawasan perkhemahan keluarga, cabaran flying fox serta keunikan pasar terapung pada waktu malam.
“Pihak Koperasi Hijrah Selangor (Kohijrah) juga sedang merancang fasa pembangunan seterusnya termasuk penyediaan resort berkonsepkan alam semula jadi di dalam kawasan hutan paya bakau bagi pasaran pelancong luar negara,” katanya.
Beliau berkata Sabak Bernam sedang dibangunkan secara holistik sebagai sebuah bandar agropolitan di bawah projek Kawasan Pembangunan Ekonomi Sabak Bernam (SABDA) bagi menggabungkan sektor pelancongan, pertanian dan perikanan.
Katanya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar juga dirancang untuk diperkenalkan sebagai pusat pelancongan kampung tradisi demi mengekalkan kelestarian alam sekitar serta peradaban bangsa agar selari dengan konsep bandar sejahtera.
“Walau bagaimanapun dalam rancangan pembinaan resort dan kemudahan baharu kelak, kita amat menitikberatkan cabaran mengekalkan kelestarian alam sekitar selaras dengan titah Raja Muda Selangor yang mahukan aspek ekosistem dan kebersihan dijaga rapi.
“Sistem kumbahan dan pengurusan sisa perlu diperincikan bersama pihak pejabat daerah dan majlis daerah agar pembangunan sektor pelancongan ini tidak sesekali merosakkan keindahan alam semula jadi yang menjadi identiti utama daerah ini,” katanya.
Mengulas mengenai pengisian lawatan dua hari satu malam Raja Muda Selangor, Rizam memaklumkan baginda telah berkenan menyerahkan sumbangan galakan perniagaan berjumlah RM1,000 setiap seorang kepada 20 peniaga asnaf termasuk peniaga pasar terapung.
Dalam masa sama, Tengku Amir Shah turut berkenan menyaksikan persembahan reog (barong), melakukan pelepasan benih udang galah serta benih ikan siakap bagi memelihara ekosistem perikanan, selain melakukan aktiviti penanaman semula pokok bakau di pesisiran pantai tersebut.
-- BERNAMA
