AM

OPERASI HOSPITAL KAMPAR TIDAK TERJEJAS, KEROSAKAN BUMBUNG TELAH DIBAIKI - EXCO

04/06/2026 01:43 PM

KAMPAR, 4 Jun (Bernama) -- Insiden kebocoran bumbung dan siling di Hospital Kampar akibat hujan lebat serta angin kencang baru-baru ini tidak menjejaskan operasi perkhidmatan kesihatan, termasuk di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak Datuk A. Sivanesan berkata tindakan pemulihan segera telah dilaksanakan sejurus kejadian pada 23 Mei lepas yang melibatkan kerosakan pada beberapa bahagian bumbung dan siling hospital itu.

Beliau berkata hujan lebat berserta angin kencang yang melanda kawasan tersebut turut menyebabkan limpahan air di beberapa ruang fasiliti, selain gangguan sementara bekalan elektrik.

"Bagaimanapun, perkhidmatan kesihatan tidak terjejas selain Jabatan Kecemasan dan Trauma terus beroperasi seperti biasa kerana kerosakan hanya melibatkan sebahagian ruang di Wad 5.

"Pemeriksaan awal mendapati kebocoran dipercayai berpunca daripada struktur bumbung yang pecah akibat faktor cuaca selain gangguan hidupan liar seperti monyet di kawasan sekitar," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Kampar di sini hari ini.

Sivanesan berkata orang ramai tidak seharusnya membuat andaian bahawa pihak berkuasa mengabaikan isu berkenaan kerana tindakan pembaikan telah dilaksanakan sebaik sahaja kejadian berlaku.

"Keadaan hospital ini yang telah beroperasi sejak 1950 menjadi antara faktor yang memerlukan usaha penyelenggaraan berterusan sementara menunggu pembinaan hospital baharu.

"Hospital ini sudah berusia hampir 80 tahun dan sememangnya keperluan mendesak untuk pembinaan hospital baharu, bagaimanapun kerajaan negeri amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pegawai dan petugas Hospital Kampar," katanya. 

Mengenai projek hospital baharu Kampar, beliau berkata ia kini memasuki fasa penting apabila proses pengambilan tanah bagi tapak baharu seluas 10.5 hektar di Kampung Changkat Baru dekat Malim Nawar hampir selesai.

Beliau berkata projek bernilai RM500 juta yang diluluskan pada 2019 itu, sebelum ini tertangguh selepas tapak asal dikenal pasti tidak sesuai berikutan keadaan tanah bekas lombong dan perlu mencari kawasan lain selepas beliau dilantik semula menjadi exco. 

"Perbicaraan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) telah dimuktamadkan pada 15 Mei lepas dan Borang K diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 22 Mei.

"KKM kini sedang melaksanakan pembayaran pampasan yang dijangka selesai pada pertengahan Jun sebelum proses pemberimilikan tanah disasarkan selesai pada Julai," katanya.

Sivanesan berkata kerajaan negeri dan KKM komited memastikan projek hospital baharu Kampar dapat direalisasikan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan yang semakin meningkat di daerah itu.

"Saya akan berjumpa dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam masa terdekat untuk berbincang tentang keperluan mendesak Hospital Kampar yang baharu dalam pembentangan belanjawan akan datang," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan