AM

AGENSI KERAJAAN, SEKTOR KORPORAT TERUS IKTIRAF PERANAN MEDIA MELALUI HAWANA 2026

04/06/2026 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Peranan media sebagai barisan hadapan dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat serta mendukung agenda pembangunan negara terus mendapat pengiktirafan daripada pelbagai agensi kerajaan dan sektor korporat menerusi sokongan terhadap sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.

Pengarah Bahagian Pembangunan Produk dan Bioteknologi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Elmie Adha Ismail berkata kerjasama sebagai rakan strategik HAWANA yang terjalin sejak tiga tahun lepas diteruskan tanda menghargai peranan media dalam mempromosikan program kerajaan, khususnya di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

"Liputan media termasuk daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bukan hanya memberi manfaat kepada pengusaha nanas dan masyarakat malah memberi impak yang baik kepada imej LPNM dan kerajaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Bersama Rakan Strategik HAWANA 2026 di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Pulau Pinang Muhammad Ghopran Yeop Hamzah berkata peluang menjadi negeri tuan rumah HAWANA tahun ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mempromosikan sektor pelancongan dan kebudayaan negeri itu.

"Kedatangan media dari seluruh negara sudah pasti akan membantu mempromosikan lagi Pulau Pinang menerusi platform media masing-masing termasuk media sosial.

"Pengamal media yang kini beralih kepada media digital atau media sosial amat diperlukan untuk membantu mempromosikan lagi pelancongan dan aktiviti budaya di Pulau Pinang khususnya kepada golongan muda," katanya sambil menyifatkan penganjuran HAWANA peluang terbaik untuk meningkatkan imej Pulau Pinang di mata masyarakat luar.

Bagi Pengurus Penjenamaan dan Hal Ehwal Awam J&T Malaysia Steve Yap, peranan media penting dalam menyampaikan maklumat serta mendokumentasikan setiap acara.

Beliau berharap penganjuran HAWANA akan diteruskan bukan hanya untuk menghargai jasa dan sumbangan pengamal media tetapi juga sebagai platform untuk menarik lebih ramai anak muda menceburi bidang kewartawanan.

LPNM, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan J&T Malaysia adalah antara 113 rakan strategik yang menaja dan menyumbang sempena penganjuran HAWANA 2026.

Majlis Bersama Rakan Strategik HAWANA 2026 itu dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Hadir sama Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak.

Kemuncak sambutan HAWANA 2026 akan diadakan pada 20 Jun di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang dan dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Majlis sambutan itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara sekali gus menjadi platform strategik untuk mencetuskan idea segar serta menentukan hala tuju kewartawanan semasa.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan