AM

UPC PERKUKUH KERJASAMA DENGAN IPT, RAKAN STRATEGIK TINGKAT PENERBITAN ILMIAH NEGARA

05/06/2026 01:56 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Konsortium Penerbit Universiti (UPC) memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, penerbit universiti, badan penyelidikan, industri serta rakan strategik dalam dan luar negara bagi meningkatkan penerbitan ilmiah Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi meningkatkan pengantarabangsaan, kebolehcapaian dan impak penerbitan ilmiah negara agar hasil penyelidikan serta penulisan akademik sarjana tempatan dapat dimanfaatkan komuniti global.

“Kerjasama ini akan memperluas pengiktirafan terhadap kepakaran dan inovasi yang dihasilkan di negara ini.  Usaha meningkatkan kebolehcapaian kandungan ilmiah akan diperkasa menerusi penggunaan platform digital, teknologi penerbitan terkini dan amalan akses terbuka yang lebih luas.

“Langkah ini juga akan menyokong perkongsian ilmu secara lebih pantas, inklusif dan berkesan merentasi sempadan geografi dan disiplin akademik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Kolaborasi Strategik antara Penerbit UIAM dengan UPC-Majlis Perundingan Melayu (MPM) serta pelancaran buku Penerbit UIAM 2026, semalam.

Hadir sama Pengerusi Sekretariat Anugerah Buku Negara Dr Hasan Hamzah, Pengerusi Tabung Pembangunan Buku Negara Datuk Seri Dr Nor Hisham Mohd Noor, Pengerusi UPC Tan Sri Prof Emeritus Dr Anuwar Ali dan Pengarah Penerbit UIAM Prof Dr Nor Lide Abu Kassim.

Osman berkata aspirasi itu mampu memperkukuh reputasi negara dalam bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Sementara itu, Setiausaha MPM Datuk Dr Hasan Mad berkata Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan MPM akan terus menggalakkan penghasilan karya akademik yang berimpak tinggi dan relevan dengan keperluan masyarakat serta agenda pembangunan negara melalui penganjuran anugerah. 

“YPBN dan MPM akan memberi tumpuan kepada penerapan teknologi penerbitan digital yang semakin berkembang pesat termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan, kebolehcapaian dan impak penerbitan ilmiah,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Anugerah Buku Negara berkata penggunaan teknologi baharu mampu mempercepatkan proses editorial, memperluas capaian kandungan akademik kepada khalayak global serta mewujudkan ekosistem penerbitan yang lebih dinamik.

“Transformasi digital dan penggunaan AI bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan bagi memastikan industri penerbitan universiti kekal relevan, berdaya saing dan mampu memenuhi tuntutan landskap ilmu yang sentiasa berubah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan