| BERITA TERGEMPAR | Peningkatan luar biasa TVET di Malaysia didorong dasar kerajaan dan komitmen TPM Ahmad Zahid - PM Anwar | |
IPOH, 6 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas diesel serta sebuah lori tangki dianggarkan bernilai RM202,211.20 dalam serbuan di sebuah jeti perikanan di Hutan Melintang, awal pagi semalam.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan kira-kira 3 pagi itu dibuat hasil risikan selama seminggu berhubung aktiviti keluar masuk lori tangki yang mencurigakan pada waktu malam dan awal pagi yang dipercayai membawa bekalan diesel dari Lembah Klang.
“Siasatan mendapati terdapat percanggahan maklumat dan rantaian penghantaran bekalan yang mencurigakan selain pemilik premis gagal mengemukakan dokumen kebenaran Pengawal Bekalan Malaysia bagi urusan melibatkan barang kawalan.
“Sehubungan dengan itu, tindakan menyita sebuah lori tangki berkapasiti 27 tan dan 21,840 liter cecair disyaki diesel serta dokumen dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamalludin berkata dua lelaki tempatan berusia 60 dan 30 tahun, iaitu pemilik premis serta pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Beliau meminta orang ramai menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan serta bersubsidi bagi membantu membanteras ketirisan subsidi kerajaan.
-- BERNAMA
