PUTRAJAYA, 8 Jun (Bernama) -- Kerajaan sedia meneliti peluasan takrifan kemudaratan dalam talian bagi merangkumi kandungan bersifat ngeri seperti gambar atau rakaman video kemalangan jalan raya.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu bertujuan melindungi sensitiviti awam, mangsa serta ahli keluarga selain mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan pihak berkuasa.
Beliau memberi contoh penularan video rakaman kamera papan pemuka (dashcam) melibatkan insiden kemalangan ngeri yang meragut nyawa enam sekeluarga di Sungai Petani, Kedah, semalam.
"Imagine for the family to see this unfiltered (bayangkan jika keluarga melihatnya tanpa tapisan)? Jadi saya rasa saya harap Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian boleh beri pertimbangan dan menjemput pihak-pihak yang berwajib dari platform-platform untuk mengambil tindakan yang bersesuaian. Kita nak platform-platform sendiri yang ambil tindakan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi Persidangan Meja Bulat Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Fahmi berkata penularan kandungan sedemikian termasuk insiden melibatkan bunuh diri, berpunca daripada kegagalan platform media sosial menurunkan hantaran berkenaan dan bukannya daripada laporan media.
Beliau berkata antara kekangan utama yang dihadapi ialah kegagalan teknologi kecerdasan buatan (AI) milik syarikat pengendali media sosial mengesan kandungan sensitif yang ditulis dalam bahasa tempatan.
"Masalahnya banyak daripada kandungan kadangkala ditulis dalam bahasa tempatan dan tidak dapat dikesan oleh AI sekiranya platform-platform ini tidak mengadakan sesi libat urus," katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang dipengerusikan Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim bagi meneliti perkara itu.
Fahmi turut memberikan amaran tegas bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana pengendali platform yang culas mengawal selia kandungan di bawah peruntukan sedia ada.
"Platform harus mengambil tindakan. Sekiranya mereka gagal dan kita dapati ada aduan maka MCMC boleh mengambil tindakan terhadap platform-platform itu di atas kegagalan berdasarkan Akta Keselamatan Dalam Talian," katanya.
-- BERNAMA
