Oleh Suraidah Roslan
KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Penghantaran tenaga pengajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke luar negara perlu dijadikan agenda utama bagi memastikan kejayaan pelaksanaan program latihan dalam bidang berteknologi tinggi yang dijadualkan bermula Julai ini.
Ahli Majlis TVET Negara Profesor Dr Ramlee Mustapha berkata langkah itu penting bagi meningkatkan kompetensi pendidik tempatan yang kebanyakannya masih berlatarbelakangkan disiplin teknikal tradisional.
Beliau berkata walaupun pengenalan bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), kriptologi dan teknologi hijau relevan dengan hala tuju TVET negara, namun cabaran kekurangan infrastruktur serta kepakaran pengajar perlu diatasi menerusi pendedahan kepada sistem latihan di negara maju.
“Tenaga pengajar TVET perlu menjalani latihan penempatan (attachment) di negara seperti Amerika Syarikat, Jerman, United Kingdom, Korea Selatan dan Jepun yang telah lama menjalinkan hubungan kukuh antara industri serta institusi latihan.
“Sistem latihan dwi-nasional Jerman dan ekosistem inovasi AI di Amerika Syarikat menyediakan model berguna yang boleh diadaptasi Malaysia untuk memperkasakan pendidik kita secara signifikan,” katanya kepada Bernama semasa ditanya tentang hala tuju TVET negara.
Pada sambutan Hari TVET Negara pada Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua badan latihan serta penyelidikan kerajaan diwajibkan menyediakan program latihan dalam bidang baharu kepada pelajar TVET terpilih bermula bulan depan.
Selain itu, Ramlee berkata cabaran utama ketika ini ialah kekurangan tenaga pengajar yang mempunyai kemahiran dalam pembelajaran mesin (machine learning), automasi industri, analisis data raya (big data analytics) dan sistem kejuruteraan hijau.
Beliau berkata tanpa pembangunan profesional berterusan menerusi kerjasama antarabangsa dan pensijilan industri, tenaga pengajar mungkin bergelut untuk menyampaikan kurikulum berorientasikan masa depan secara berkesan.
“Pelaburan dalam pembangunan kompetensi tenaga pengajar amat diperlukan supaya agenda TVET MADANI mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang kompetitif pada peringkat global,” katanya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Profesor Madya Dr Mohd Hasril Amiruddin berkata penyediaan tenaga pengajar kompeten harus bergerak seiring dengan pembangunan modul latihan.
Beliau berkata memandangkan tahap kesediaan institusi berbeza, pelaksanaan program itu perlu dilakukan secara berfasa dengan penekanan kepada pembangunan modul, kepakaran pengajar dan kemudahan pembelajaran yang mencukupi.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerjasama strategik bersama-sama penggiat industri perlu terus diperkukuh bagi memastikan kandungan kurikulum dan latihan sentiasa relevan dengan perkembangan pesat teknologi serta keperluan semasa pasaran pekerjaan.
Mohd Hasril berkata inisiatif kerajaan itu mencerminkan komitmen tinggi dalam memperkasakan transformasi TVET negara yang berpotensi besar melahirkan tenaga kerja mahir bagi memacu ekonomi dan menyokong industri strategik.
“Penekanan terhadap TVET 2.0 dilihat selari dengan keperluan negara dalam sektor berimpak tinggi termasuk teknologi pertanian pintar, keterjaminan makanan, automasi, digitalisasi serta bidang teknologi baharu yang mampu memperkukuh daya saing ekonomi negara,” katanya.
-- BERNAMA
