Oleh Afifitri Muhammad
KUANTAN, 9 Jun (Bernama) -- Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Ekonomi Tempatan di peringkat negeri dan daerah bagi menangani isu warga asing yang menjalankan perniagaan secara tidak sah.
Yang Dipertuanya Yusri Yusof berkata cadangan itu selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dewan perniagaan dan persatuan penjaja bekerjasama bagi menangani isu kebanjiran perniagaan haram yang dikendalikan warga asing.
“Penubuhan jawatankuasa ini akan mencari satu mekanisme perkongsian maklumat antara dewan perniagaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penguat kuasa, selain mewujudkan saluran aduan berpusat yang lebih pantas dan berintegriti,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata objektif utama penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk memantau perkembangan ekonomi semasa pada peringkat tempatan, mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh usahawan dan komuniti perniagaan, serta mengemukakan cadangan penambahbaikan kepada pihak berkaitan.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya melihat isu berkenaan sebagai perkara serius yang memerlukan tindakan tegas dan berterusan kerana ia berpotensi menjejaskan kelangsungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
Yusri berkata berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), terdapat kira-kira 41,698 PMKS di Pahang dengan nilai tambah ekonomi sebanyak RM14.7 bilion, sekali gus menjadikan sektor itu antara tulang belakang ekonomi negeri.
"Pada 2024, ekonomi Pahang berkembang 5.7 peratus, lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan nasional 5.1 peratus, dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah RM68.7 bilion.
"Sektor perkhidmatan, perdagangan borong dan runcit serta makanan dan minuman antara penyumbang utama pertumbuhan tersebut. Sebarang aktiviti perniagaan dijalankan secara tidak sah boleh menjejaskan ekosistem perniagaan yang sihat dan mengurangkan daya saing PMKS tempatan," katanya.
Beliau berkata DPMM Pahang turut menerima maklum balas dan aduan daripada ahli-ahlinya berhubung persaingan yang dianggap tidak seimbang oleh kewujudan pihak dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan tanpa mematuhi syarat pelesenan, permit pekerjaan dan peraturan ditetapkan kerajaan.
Mengulas implikasi jika masalah itu tidak ditangani segera, beliau berkata keadaan berkenaan boleh mengurangkan peluang perniagaan usahawan PMKS, sekali gus menyebabkan kebocoran ekonomi dan melemahkan agenda pembangunan usahawan.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memaklumkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan lesen perniagaan kepada warga asing, manakala permit kerja di premis perniagaan di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia.
Semalam, Perdana Menteri melahirkan kebimbangan terhadap kebanjiran warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat dan pelajar untuk menjalankan perniagaan di negara ini.
-- BERNAMA
