AM

60 TAHUN LPPKN TERUS PERKUKUH KESEJAHTERAAN KELUARGA DI MALAYSIA

10/06/2026 03:09 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) kini melangkah ke usia enam dekad sebagai institusi utama yang memainkan peranan penting dalam memastikan institusi keluarga terus kukuh sebagai asas kekuatan negara.

Ditubuhkan pada 1966 sebagai Lembaga Perancang Keluarga Kebangsaan, organisasi itu muncul dalam konteks Malaysia pasca kemerdekaan bagi mengurus pertumbuhan penduduk secara sistematik menerusi intervensi klinikal dan pendidikan komuniti.

LPPKN dalam kenyataan memaklumkan evolusi organisasi itu menyaksikan anjakan paradigma yang signifikan melalui pindaan akta pada 1984 yang mengubah fokus daripada pendekatan “merancang kelahiran” kepada “membangun kesejahteraan keluarga” yang lebih menyeluruh.

“Pendekatan LPPKN menjadi semakin tersusun menjelang dekad 1990-an dengan penekanan kepada pembangunan keluarga secara sistematik yang menyaksikan pelaksanaan program seperti Gerakan Keluarga Bahagia serta pengenalan modul kekeluargaan sebagai asas intervensi berstruktur bagi mengukuhkan hubungan kekeluargaan, komunikasi interpersonal dan nilai murni kekeluargaan,” menurut kenyataan itu.

Perkembangan itu berlaku seiring dengan peningkatan cabaran sosial seperti perubahan peranan gender, tekanan ekonomi serta dinamika hubungan kekeluargaan yang kompleks, yang menyaksikan LPPKN mula melihat keluarga bukan sekadar unit demografi, sebaliknya institusi sosial yang memerlukan sokongan berterusan dan pendekatan lebih holistik.

Menurut kenyataan itu, LPPKN terus memperkukuh penyampaian perkhidmatannya menerusi pengenalan konsep kitaran hidup keluarga seperti program SMARTSTART bagi persediaan perkahwinan, selain penubuhan Pusat Keluarga pada 2001 sebagai hab perkhidmatan sehenti di bawah satu bumbung.

“Turut diberi penekanan adalah Program Pembangunan Remaja melalui penubuhan KafeTEEN pada 2006 bagi membentuk nilai sejak usia muda, memandangkan cabaran keluarga Malaysia kini semakin kompleks dan bersifat pelbagai dimensi,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Ketua Pengarah LPPKN Datuk Abdul Shukur Abdullah berkata kekuatan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui angka ekonomi, sebaliknya ia bermula dari dalam rumah apabila nilai, identiti dan kesejahteraan dibentuk sejak awal kehidupan.

“Pendekatan bersepadu adalah kunci kepada keberkesanan perkhidmatan. Kesejahteraan keluarga bersifat holistik dan perlu ditangani sebagai satu ekosistem,” katanya dalam kenyataan sama.

Abdul Shukur ketika mengulas isu semasa berkata trend penurunan Kadar Kesuburan Jumlah negara berada pada paras 1.6 pada 2024, selain fenomena penuaan penduduk yang dijangka menjadikan Malaysia sebagai negara menua menjelang 2036.

“Justeru, kesejahteraan keluarga tidak lagi boleh dilihat sebagai isu sosial semata-mata tetapi keutamaan strategik nasional yang mempunyai implikasi langsung terhadap pembangunan ekonomi, tenaga kerja dan kestabilan sosial,” katanya.

Abdul Shukur berkata sebagai langkah ke hadapan, LPPKN memperkenalkan Pakej KASIH MADANI di bawah Agenda Nasional KASIH Keluarga Negara yang merangkumi modul praperkahwinan, keibubapaan digital serta kesejahteraan mental keluarga bagi mendepani perubahan dinamika sosial.

Selain itu, beliau berkata LPPKN juga kini sedang mempergiat transformasi digital melalui platform seperti Portal Keluarga Bahagia bagi memastikan akses maklumat dan sokongan kekeluargaan dapat dicapai oleh seluruh lapisan masyarakat secara inklusif.

Menurut Abdul Shukur, penggunaan instrumen saintifik seperti Indeks Kesejahteraan Keluarga serta Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia kekal menjadi rujukan utama kerajaan dalam merangka polisi negara yang lebih tepat dan bersasar.

“Perancangan masa depan keluarga mesti berpaksikan data dan realiti semasa. Tanpa pemahaman yang tepat, kita tidak dapat membina dasar yang benar-benar memberi impak kepada rakyat,” katanya.

Selepas 60 tahun, LPPKN telah berkembang daripada sebuah agensi kecil kepada institusi nasional yang memainkan peranan penting dalam membina ekosistem kesejahteraan keluarga negara. 

Evolusi ini mencerminkan keupayaan organisasi untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zaman, di samping mengekalkan komitmen terhadap kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan