Oleh Kamarul Halim M Kamal
MUAR, 11 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyasarkan eksport produk berasaskan kayu negara meningkat lebih 15 peratus tahun ini susulan prestasi memberangsangkan sektor itu yang merekodkan nilai eksport kira-kira RM14.6 bilion tahun lepas.
Timbalan Menteri berkenaan Sim Tze Tzin berkata industri berasaskan kayu Malaysia kini berjaya menembusi lebih 160 pasaran antarabangsa dan terus mendapat kepercayaan negara maju berikutan reputasi produk tempatan yang berkualiti tinggi.
Beliau berkata pendekatan “Made by Malaysia” atau jenama Malaysia akan terus diperkasakan bagi meningkatkan daya saing industri berkenaan yang kini menjadi antara penyumbang penting kepada eksport negara serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“MITI bersama-sama pemain industri termasuk Majlis Perabot Malaysia (MFC) akan terus memperkukuh kedudukan produk kayu dan perabot Malaysia di pasaran global menerusi strategi yang menumpukan kepada pertumbuhan, pemodenan dan peningkatan daya saing.
“Produk kayu khususnya perabot buatan Malaysia terus mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa dengan Amerika Syarikat kekal sebagai destinasi eksport terbesar bernilai RM6.15 bilion atau 49.1 peratus daripada keseluruhan eksport sektor ini, diikuti Singapura sebanyak RM1.19 bilion atau 9.5 peratus,” katanya kepada Bernama selepas Sesi Dialog Bersama Persatuan Perabot Muar (MFA) di sini hari ini.
Menurut beliau pasaran utama lain termasuk Jepun dan Australia yang masing-masing menyumbang 4.6 peratus daripada jumlah eksport, selain United Kingdom sebanyak empat peratus.
Sim berkata MITI turut memberi tumpuan kepada usaha memperluas pasaran eksport ke negara berpotensi tinggi seperti China, Korea Selatan dan India bagi mengukuhkan lagi pertumbuhan sektor berkenaan.
Beliau berkata peningkatan berterusan eksport produk kayu dan perabot bukan sahaja mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara, malah berpotensi mewujudkan ribuan peluang pekerjaan baharu dalam rantaian industri itu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Johor kekal sebagai negeri yang mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi di negara ini dengan nilai mencecah RM110 bilion, sekali gus menyediakan asas kukuh bagi mengukuhkan aktiviti pembuatan dan eksport sektor kayu serta perabot.
“MITI melihat MFA sebagai rakan strategik penting dalam memacu transformasi industri ini. Kami akan terus memastikan ekosistem yang kondusif melalui penyelarasan dasar, pembiayaan dan akses pasaran bagi menjadikan industri perabot Malaysia lebih berdaya tahan, inovatif dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Bagi mempercepat pertumbuhan industri itu, pelbagai kemudahan pembiayaan dan program sokongan turut disediakan menerusi agensi seperti Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), EXIM Bank Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
-- BERNAMA
