AM

WARGA EMAS HARUS KETEPI STIGMA PENGGUNAAN TONGKAT, BANTU CEGAH INSIDEN TERJATUH

12/06/2026 01:11 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Warga emas di Malaysia tidak seharusnya berasa malu untuk menggunakan tongkat sebagai langkah pencegahan terhadap risiko terjatuh yang kekal menjadi punca utama namun sering terlepas pandang bagi kecederaan, hilang upaya dan kematian dalam kalangan golongan itu.

Dengan lebih 11.0 peratus daripada populasi negara kini berusia 60 tahun ke atas, risiko terjatuh muncul sebagai punca kematian dan hilang upaya yang ketara namun sering "tersembunyi" di negara ini.

Perunding pediatrik komuniti Datuk Dr Amar-Singh HSS dan Dr Lim Swee Im berkata pada peringkat antarabangsa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pertubuhan perubatan lain mengiktiraf terjatuh sebagai punca utama kecederaan tidak disengajakan serta kematian dalam kalangan orang dewasa berusia 60 tahun ke atas.

Mereka memaklumkan Perangkaan Sebab Kematian Malaysia 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan empat punca utama kematian yang disahkan secara perubatan dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas ialah radang paru-paru (pneumonia), penyakit jantung, diabetes melitus dan strok.

“Bagaimanapun, ini tidak memberikan gambaran sebenar. Mekanisme punca kematian kita di Malaysia merekodkan punca akhir kematian dan bukan punca asas yang membawa kepada kematian.

“Sebagai contoh, jika seorang warga emas terjatuh, mengalami kecederaan parah atau patah tulang pinggul dan kemudian terlantar di katil serta mendapat radang paru-paru akibat tidak dapat bergerak, punca kematian direkodkan sebagai radang paru-paru, bukan disebabkan terjatuh,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Mereka juga merujuk data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang menunjukkan seorang daripada tujuh rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas pernah mengalami sekurang-kurangnya satu kali terjatuh dalam tempoh 12 bulan sebelumnya dalam tinjauan pada 2018 dan 2025.

Selain itu, turut diketengahkan ialah beberapa faktor yang meningkatkan risiko terjatuh dalam kalangan warga emas termasuk penyusutan otot berkaitan usia, gangguan kognitif yang menjejaskan keseimbangan secara ketara, penyakit kronik dan kesan sampingan ubat.

“Data NHMS 2025 menunjukkan 45 peratus warga Malaysia berusia 60 tahun ke atas mengalami sarkopenia (penyusutan otot), demensia (10 peratus), diabetes (39 peratus) dan hipertensi (73 peratus),” kata mereka.

Mereka juga merujuk kepada penurunan keupayaan fizikal dalam kalangan warga emas, apabila 10 peratus mengalami  keterbatasan dalam aktiviti kehidupan harian, empat peratus mengalami masalah penglihatan dan 30 peratus tidak aktif secara fizikal.

Berkongsi pengalaman, Dr Amar dan Dr Lim berkata menjadikan rutin menggunakan tongkat mendaki yang ringan serta boleh dilaraskan ketinggiannya, apabila berusia 60 tahun walaupun mereka masih cergas dan aktif.  

“Tongkat yang biasa ini menjadikan kita lebih stabil ketika berdiri serta kurang terhuyung-hayang. Bergerak di permukaan tidak rata serta menaiki tangga bangunan dan jalan raya boleh menjadi agak berbahaya, apatah lagi dengan lubang jalan dan ruang yang tidak dijangka.

“Setelah menggunakannya selama beberapa tahun sekarang, kami mula menikmati sokongan tambahan yang diberikan tongkat. Kini menjadi kebiasaan untuk kami tidak keluar rumah tanpa membawa tongkat. Sesetengah orang memandang kami dengan pelik, dua individu cergas menggunakan tongkat,” kata mereka. 

Mereka juga berasa sedih kerana ramai warga emas berasa malu untuk menggunakan tongkat kerana takut kelihatan “tua”, sebaliknya menggunakan payung yang tidak sesuai atau berpaut pada ahli keluarga untuk sokongan.

Mereka juga menggesa perhatian diberikan kepada keselamatan rumah dan infrastruktur awam, mengambil kira insiden terjatuh sering berlaku di dalam dan sekitar rumah selain mengesyorkan pengubahsuaian praktikal seperti memasang lantai tidak licin, menutup longkang, merendahkan ruang simpanan dan menambah pemegang di bilik mandi.

Selain itu, mereka menggesa pihak organisasi dan mereka yang berkait dengan kemudahan awam untuk mempertimbangkan semula penggunaan meluas lantai marmar yang digilap, yang disifatkan sebagai berisiko besar untuk tergelincir, terutamanya bagi warga emas, orang kurang upaya dan kanak-kanak kecil.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan