JENAYAH & MAHKAMAH

BICARA KES SEKURITI TANPA LESEN MAHADI, PENGARAH SYARIKAT BERMULA 29 MAC 2027

12/06/2026 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan perbicaraan kes usahawan Datuk Mahadi Badrul Zaman, syarikatnya dan seorang pengarah syarikat yang didakwa menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen berlangsung selama 17 hari bermula 29 Mac tahun depan.

Hakim Mohd Kafli Che Ali menetapkan perbicaraan pada 29 hingga 31 Mac, 19 hingga 21 April, 26 dan 27 April, 10 hingga 12 Mei, 14 hingga 16 Jun dan 12 hingga 14 Julai 2027, selepas dipersetujui pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mengikut pertuduhan, Mahadi, 43, didakwa sebagai wakil AUF MBZ telah menjalankan perniagaan dalam sekuriti sedangkan syarikat itu bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar bagi menjalankan aktiviti terkawal tersebut di sebuah vila di Sunway South Quay, Subang Jaya, Selangor antara 3 Sept 2021 dan 15 Feb 2024.

AUF MBZ yang diwakili Mahadi didakwa telah menjalankan urusan dalam aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti sedangkan syarikat itu bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar bagi aktiviti terkawal berniaga dalam sekuriti itu, di lokasi dan pada tarikh yang sama.

Pengarah Syarikat QEW Group Bhd Muhamad Iqbal Mohamad, 47, pula didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu dengan AUF MBZ di sebuah premis di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, Selangor pada tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 58(4) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM10 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti K. Mageswary berkata pihaknya memohon tiga kes itu dibicarakan serentak mengikut Seksyen 170 Kanun Tatacara Jenayah kerana membabitkan transaksi yang sama dan dipersetujui pihak pembelaan.

“Pendakwaan menjangkakan akan memanggil 25 saksi. Kami telah menyerahkan beberapa jilid dokumen kepada pihak pembelaan dan bakinya akan diserahkan dalam masa terdekat,” katanya.

Pada prosiding itu peguam Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus mewakili Mahadi dan syarikat AUF MBZ Consortium PLT manakala Nik Mohamed Ikhwan Nik Mohamud serta Dhia Syazwani Izyan Mohd Akhir mewakili Muhamad Iqbal.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan