BUTTERWORTH, 12 Jun (Bernama) -- Galatek Technologies (Galatek) membuka kemudahan pembuatan, pemasangan serta penghantarannya di Pulau Pinang, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab strategik bagi pembangunan industri semikonduktor dan pengeluaran maju.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata menerusi pelaburan awal sebanyak US$2 juta (RM9.4 juta), kemudahan itu akan menyokong pembuatan peralatan canggih, integrasi sistem, pemasangan, pengujian serta penghantaran kepada pelanggan yang meliputi sektor utama termasuk semikonduktor, elektronik termaju, sains hayat dan tenaga mampan.
Menyentuh pelaburan, beliau menyifatkannya sebagai paparan komitmen jangka panjang Galatek terhadap Pulau Pinang, termasuk hasrat pelaburan tambahan syarikat itu sebanyak US$60 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang yang menjadikan keseluruhan pelaburannya mencecah US$100 juta dalam tempoh lima tahun.
Beliau berkata kehadiran Galatek yang juga penyedia global automasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), peralatan semikonduktor dan teknologi sains hayat, juga memaparkan hala tuju ekonomi negeri itu yang terus mengukuhkan kedudukan dalam industri dipacu oleh automasi, AI, pendigitalan dan teknologi pembuatan termaju.
“Keputusan Galatek untuk mewujudkan operasi pembuatan, pemasangan serta penghantaran ini turut mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan bagi industri yang dipacu oleh teknologi,” katanya ketika merasmikan pembukaan kemudahan itu di Taman Perindustrian Perai di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Galatek David Tian, Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang Datuk Loo Lee Lian serta Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Pulau Pinang Muhammad Ghaddaffi Sardar Mohamed.
Menurut Chow, pelaburan Galatek juga penting dari sudut strategik kerana syarikat yang beroperasi dalam pembuatan termaju, automasi dan penyelesaian kejuruteraan itu tidak hanya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, malah turut memperkukuh keupayaan teknologi yang membentuk masa depan perindustrian negeri itu.
Beliau berkata tenaga kerja tempatan di Galatek juga dijangka berkembang daripada kira-kira 20-30 pekerja dalam tahun pertama operasinya kepada dianggarkan 100 orang dalam masa lima tahun yang bakal mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk kalangan jurutera, juruteknik serta profesional mahir lain.
Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan komitmen Galatek untuk meningkatkan aspek penyetempatan dan mengukuhkan libat urus dengan pembekal dan rakan niaga tempatan selain menggalakkan syarikat meninjau peluang kerjasama menerusi Kampus Kejuruteraan dan Teknologi Maju Pulau Pinang untuk menyokong pembangunan bakat dan inovasi dalam ekosistem semikonduktor.
Sementara itu, Tian berkata Pulau Pinang menjadi pilihan sebagai hab pembuatan dan penghantaran serantau syarikat itu berikutan faktor ekosistem perindustriannya yang mantap selain kesalinghubungan kukuh dengan pasaran global.
Beliau juga menyifatkan kemudahan itu sebagai detik bermakna dalam strategi pengembangan jangka panjang Galatek di serata Asia Tenggara.
"Syarikat ini merancang untuk membangunkan keupayaan kejuruteraan tempatan, mengembangkan kerjasama dengan pembekal Malaysia selain menyumbang kepada pertumbuhan berterusan industri teknologi negara ini.
“Generasi perindustrian dan inovasi saintifik seterusnya akan banyak bergantung kepada penyepaduan AI, automasi dan sistem peralatan maju. Pulau Pinang turut menyediakan persekitaran mantap serta membolehkan kami membangunkan keupayaan itu dan menyediakan perkhidmatan untuk pelanggan global dari Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
