AM

OPERASI PANGEA XVIII: KKM RAMPAS PRODUK FARMASEUTIKAL TIDAK SAH BERNILAI RM3.15 JUTA

12/06/2026 06:08 PM

PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) --Kementerian Kesihatan (KKM) merampas 130,678 unit produk farmaseutikal tidak berdaftar, tiruan dan dipalsukan yang dianggarkan bernilai RM3.15 juta di seluruh negara menerusi Operasi Pangea XVIII yang dijalankan dari 10 hingga 23 Mac lepas.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi yang diselaraskan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM itu turut melibatkan kerjasama beberapa agensi lain, termasuk INTERPOL/Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta CyberSecurity Malaysia.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 2,294 pautan penjualan produk farmaseutikal tidak sah membabitkan platform e-dagang, laman sesawang, dark web dan media sosial berjaya disekat aksesnya serta diturunkan kandungannya.

Selain itu, melalui kerjasama dengan JKDM, sebanyak 497 bungkusan pos diperiksa dan daripada jumlah itu, 49 bungkusan bernilai RM766,721 dirampas selepas didapati mengandungi produk farmaseutikal tidak sah.

KKM turut memaklumkan pemeriksaan ke atas bagasi penumpang membawa kepada rampasan 3,210 unit produk farmaseutikal bernilai RM11,843.

Menurut kementerian itu, produk yang paling banyak dirampas di hab pos membabitkan suplemen kesihatan, produk tradisional, ubat tiruan (counterfeit) dan ubat terkawal tidak berdaftar yang kebanyakannya dibawa masuk dari India, Vietnam, China, Bangladesh dan Indonesia.

“Rampasan ini juga menunjukkan peningkatan trend pembelian suplemen kesihatan dan produk yang tidak diketahui kesahihannya dari luar negara,” menurut kenyataan itu.

Dalam operasi serbuan bersepadu yang menyasarkan penjual serta premis perniagaan yang terbabit dalam penjualan produk farmaseutikal tidak sah secara dalam talian, sebanyak 65 premis diserbu dengan 93,861 unit produk dirampas.

Produk yang dirampas termasuk produk antiparasit, antibiotik, antiradang dan produk herba dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2.39 juta.

KKM menegaskan pembelian ubat melalui platform e-dagang, media sosial atau sumber tidak sah boleh mengundang risiko serius, termasuk keracunan, kegagalan rawatan, kesan sampingan berbahaya dan kematian.

Di peringkat global, Operasi Pangea XVIII yang membabitkan penyertaan 90 negara merekodkan rampasan sebanyak 6.42 juta unit produk farmaseutikal tidak diluluskan dan tiruan yang dianggarkan bernilai USD15.5 juta (RM62.89 juta).

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan