IPOH, 13 Jun (Bernama) -- Kerjasama jangka panjang bekalan gas asli cecair (LNG) antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan JERA Co Inc (JERA) dari Jepun membuktikan keyakinan berterusan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia sebagai pembekal tenaga yang stabil dan berdaya saing.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata perjanjian itu turut mencerminkan kekuatan hubungan perdagangan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Jepun, khususnya dalam industri petroleum.
“Perkembangan ini amat positif kerana dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu ketika ini, Malaysia terus menjadi antara negara yang menjadi pilihan banyak negara lain untuk mendapatkan bekalan tenaga.
“Untuk kerjasama melibatkan Malaysia dan Jepun ini, kita bersetuju untuk mengadakan kerjasama dengan JERA kerana kita telah mempunyai hubungan dagang dalam sektor industri petroleum dengan syarikat Jepun sejak daripada awal penubuhan Petronas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sesi 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Rambutan, di sini hari ini.
Pada Rabu lepas, Petronas memaklumkan syarikat itu akan membekalkan LNG kepada JERA dari Jepun selama 20 tahun bermula pada 2028 di bawah perjanjian jangka panjang yang baharu.
Muhammad Kamil berkata perjanjian itu bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik Malaysia dan Jepun dalam sektor tenaga, malah dijangka memberikan impak positif kepada ekonomi negara.
Hasil yang diperoleh daripada pembekalan LNG itu akan menyumbang kepada peningkatan keuntungan Petronas seterusnya pulangan dividen kepada kerajaan.
“Keuntungan daripada pembekalan LNG oleh Petronas akan menyumbang kepada pulangan dividen kepada kerajaan, sekali gus meningkatkan hasil negara yang boleh digunakan untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
