BUTTERWORTH, 13 Jun (Bernama) -- Klinik Kesihatan Seberang Jaya di sini telah dipilih sebagai fasiliti pelaksanaan fasa pertama Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan di Pulau Pinang, yang bertujuan memperkukuh pencegahan, saringan awal dan rawatan pelbagai penyakit paru-paru.
Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Datuk Dr. Fazilah Shaik Allaudin berkata inisiatif baharu Kementerian Kesihatan (KKM) itu melibatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu proses saringan X-ray dada dengan lebih cepat dan tepat, khususnya untuk pengesanan awal kanser paru-paru.
"Klinik Kesihatan Seberang Jaya telah dipilih sebagai satu daripada fasiliti pelaksanaan fasa pertama inisiatif itu, dan memberikan tumpuan kepada penyakit paru-paru lain termasuk tuberkulosis, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) dan asma," katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Sempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia 2026 Sihat Peringkat Pulau Pinang.
Majlis itu diadakan di Kolej Tingkatan Enam Desa Murni di sini hari ini, dan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen.
Dr. Fazilah berkata KKM juga terus memperkukuh pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat, khususnya remaja untuk berhenti merokok dan bebas daripada ketagihan nikotin menerusi Program JomQuit, Klinik Berhenti Merokok, Program Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (KOTAK) serta platform digital berasaskan AI, Cik Era.
Beliau berkata individu yang ingin berhenti merokok boleh mendapatkan sokongan, kaunseling, rawatan dan motivasi secara berterusan daripada KKM.
"Hari Tanpa Tembakau Sedunia disambut pada 31 Mei setiap tahun, dan tema tahun ini “Di Sebalik Daya Tarikan- Menangani Ketagihan Nikotin dan Tembakau”, katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata penggunaan produk tembakau dan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja di negeri itu masih membimbangkan.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) Remaja 2022, iaitu prevalens penggunaan dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun ialah 14.3 peratus bersamaan kira-kira seorang daripada setiap tujuh remaja.
Lebih membimbangkan, prevalens penggunaan vape ialah 11.1 peratus atau kira-kira seorang daripada setiap sembilan remaja, dan prevalens penggunaan vape dalam kalangan remaja lelaki pula ialah lima kali lebih tinggi berbanding remaja perempuan, iaitu 18.6 peratus berbanding 3.7 peratus.
"Dapatan itu menunjukkan bahawa penggunaan vape dalam kalangan golongan muda merupakan cabaran kesihatan awam yang memerlukan perhatian serius daripada semua pihak," katanya.
Sementara itu, Gooi berkata trend yang dilaporkan NHMS amat membimbangkan kerana nikotin boleh menyebabkan ketagihan pada usia muda serta memberikan kesan terhadap perkembangan otak, pembelajaran dan kesejahteraan diri
Beliau berkata lebih membimbangkan, industri vape hari ini bukan sekadar menjual produk tetapi turut mempromosikan imej, gaya hidup dan identiti yang menarik minat golongan muda melalui pelbagai perisa, reka bentuk produk dan strategi pemasaran yang agresif.
"Sebagai sebuah negeri yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, kerajaan negeri menyokong sepenuhnya segala usaha untuk melindungi remaja dan kanak-kanak daripada terdedah kepada produk tembakau dan vape.
"Sehubungan dengan itu, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) merupakan langkah penting dalam memperkukuh perlindungan kesihatan rakyat, khususnya generasi muda," katanya.
-- BERNAMA
