AM

5,000 PELAJAR SARAWAK DISASAR DAFTAR PENGAJIAN DI KPTM, UPTM TAHUN INI

13/06/2026 04:27 PM

KUCHING, 13 Jun (Bernama) – Majlis Amanah Rakyat (MARA)  menyasarkan 5,000 pelajar dari Sarawak mendaftar di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) tahun ini, susulan peningkatan ketara permohonan dari negeri itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata peningkatan permohonan pelajar Sarawak amat memberangsangkan, sekali gus mencerminkan keberkesanan program Siri Jelajah Pendidikan Tinggi (HITS) yang dianjurkan setiap tahun bagi memperkenalkan peluang pengajian ditawarkan KPTM dan UPTM.

“Tahun ini kita menjangkakan antara 4,000 hingga 5,000 pelajar dari Sarawak akan menyertai KPTM dan UPTM.

“Tahun lepas ia mencecah lebih 1,800 permohonan dan setakat Jun tahun ini kita telah menerima 1,010 permohonan untuk KPTM,” katanya kepada pemberita  selepas merasmikan HITS Sarawak 2026 itu di sini, hari ini.

Menurut beliau, peningkatan itu turut mendorong pihak institusi berkenaan merancang mewujudkan kampus institusi tersebut di Sarawak bagi memudahkan akses pendidikan tinggi kepada pelajar tempatan.

“KPTM kini dalam proses dan prosedur tertentu untuk beroperasi di Sarawak bagi menarik lebih ramai pelajar negeri ini mengikuti pengajian yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata bagi memperluas lagi manfaat kepada pelajar Sarawak, MARA telah menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Sarawak bagi membolehkan pelajar yang mengikuti pengajian di institusi berkenaan menikmati kemudahan sebelum ini turut ditawarkan kepada pelajar Sarawak di institusi pengajian tinggi lain.

“Hari ini kita telah melancarkan kerjasama tersebut yang membolehkan pelajar Sarawak di bawah KPTM dan UPTM memohon pelbagai insentif disediakan kerajaan negeri, tertakluk kepada syarat.

“Antara kemudahan boleh dimohon ialah bantuan tiket penerbangan, baucar buku dan komputer riba, sekali gus memberi lebih banyak sokongan kepada pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian di institusi di bawah MARA itu,” katanya.

– BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan