AM

MYHERO TANI BUKA PELUANG VETERAN ATM JANA PENDAPATAN MELALUI PERTANIAN MODEN

13/06/2026 07:14 PM

JERTIH, 13 Jun (Bernama) -- Program MyHero Tani yang dilaksanakan menerusi kerjasama strategik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (YVATM) mampu membuka peluang baharu kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya golongan B40 untuk menjana pendapatan menerusi bidang pertanian moden.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata sebanyak 10 peserta bagi fasa pertama yang terdiri daripada veteran ATM di Terengganu terlibat mengusahakan projek tanaman keledek di kawasan seluas 2.02 hektar (lima ekar) milik UniSZA di Tembila, Besut.

“Kita yakin ini inisiatif yang amat baik kerana bukan sahaja melibatkan penanaman, malah merangkumi pelbagai aspek termasuk penyelidikan, pemprosesan hasil tanaman dan pemasaran. 

"Perkara ini penting bagi kita kerana di Kementerian Pertahanan, agensi serta jabatan sentiasa memastikan golongan veteran bukan sahaja diberi perhatian dari aspek kebajikan, tetapi juga aspek sosioekonomi,” katanya selepas majlis perasmian program berkenaan di UniSZA Kampus Besut di sini hari ini.

Adly berkata sebanyak RM7,000 bagi kos seekar tanah atau RM35,000 keseluruhan perbelanjaan Fasa Pertama telah disalurkan oleh YVATM kepada UniSZA bagi pelaksanaan projek termasuk penyiapan tanah, infrastruktur ladang, benih dan baja serta penyelidikan dan pembangunan projek.

Beliau berkata model berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa, dengan fasa kedua dijangka melibatkan perluasan kawasan tanaman tambahan sebanyak 2.02 hektar serta pemilihan tanaman baharu.

“Pada fasa kedua, kita jalankan di tempat sama dan akan kekalkan keseluruhan tanah yang diusahakan bersama UniSZA ini serta memilih peserta baharu bagi fasa seterusnya. Fokus kita adalah untuk mengoptimumkan penggunaan tanah serta meningkatkan ekonomi veteran,” katanya sambil menambah tanaman bagi fasa pertama itu diusahakan sejak Januari lepas.

Adly berkata projek itu turut dibangunkan dengan sokongan kepakaran UniSZA yang menyediakan bimbingan teknikal, penyelidikan serta penggunaan teknologi dalam pengurusan tanaman.

Projek itu juga, katanya memanfaatkan penggunaan teknologi moden termasuk pemprosesan hasil pertanian kepada produk nilai tambah seperti kerepek dan produk berasaskan keledek.

Beliau berkata setiap peserta dijangka memperoleh pendapatan kira-kira RM7,000 bagi setiap musim tuaian yang mengambil masa kira-kira tiga bulan, manakala setiap ekar tanah dianggar mampu menghasilkan kira-kira RM8,400.

Beliau berkata kerjasama strategik bersama UniSZA selama tiga tahun itu juga dijangka membuka ruang kepada peluasan projek ke negeri lain sekiranya model berkenaan berjaya mencapai sasaran ditetapkan.

Pada majlis itu, Adly turut menyerahkan 16 komputer riba kepada anak-anak veteran ATM yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam.

Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan 112 komputer riba yang disumbangkan oleh Etiqa General Takaful Berhad menerusi Program Tanggungjawab Zakat Korporat (CZR), dengan nilai keseluruhan RM238,000.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kebajikan kepada 15 balu veteran ATM yang terdiri daripada golongan asnaf, selain penyerahan 500 Bakul Rahmah kepada Persatuan Veteran ATM Negeri Terengganu, penduduk kampung sekitar Daerah Besut serta sekolah berhampiran.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan