Oleh Mohd Adli Shahar
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Polis mendedahkan sisi gelap jenayah bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dalam talian apabila individu yang pada awalnya hanya mengakses atau menyimpan kandungan berkenaan boleh beralih kepada jenayah lebih serius, termasuk pengantunan, pemerasan dan amang seksual terhadap kanak-kanak.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman SAC Siti Kamsiah Hassan berkata trend itu dikesan berdasarkan pengalaman siasatan D11 dan Pusat Jenayah Terhadap Kanak-Kanak Malaysia (MICAC) terhadap kes berkaitan CSAM.
Beliau berkata akses berulang kepada CSAM boleh mewujudkan elemen ketagihan tingkah laku, iaitu keadaan apabila individu terdorong untuk terus mencari lebih banyak kandungan dan meluangkan masa yang semakin banyak mengakses bahan berkenaan.
“Sama seperti bentuk ketagihan lain, individu yang terdedah secara berterusan kepada CSAM mungkin memerlukan kandungan yang semakin ekstrem untuk mencapai tahap kepuasan,” katanya kepada Bernama.
Siti Kamsiah berkata siasatan mendapati kewujudan komuniti dalam talian yang berkongsi CSAM lazimnya beroperasi dalam kumpulan tertutup, dengan ahli-ahlinya mungkin tidak mengenali antara satu sama lain secara peribadi.
“Mereka dihubungkan oleh minat yang sama terhadap kandungan tersebut. Kumpulan-kumpulan ini akhirnya membentuk satu rantaian yang besar kerana setiap kumpulan mempunyai jaringan tersendiri dan saling berkongsi kandungan,” katanya.
Beliau berkata kewujudan permintaan terhadap kandungan itu turut menyumbang kepada kegiatan eksploitasi apabila terdapat individu yang memperoleh bahan berkenaan menjualnya kepada pihak lain bagi mendapatkan keuntungan.
Siti Kamsiah berkata individu yang terlibat dalam pemilikan, penyimpanan atau pengedaran CSAM datang daripada pelbagai latar belakang pekerjaan, umur dan status sosial.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kes CSAM yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkat daripada 68 kes pada 2024 kepada 152 kes pada tahun lepas, manakala 100 kes direkodkan setakat tahun ini.
Teo berkata angka itu mungkin hanya sebahagian kecil daripada keadaan sebenar kerana peningkatan ketersambungan dan kewujudan alat penjanaan kandungan yang semakin meluas, menjadikan bahan seumpama itu lebih mudah dihasilkan dan disebarkan.
Bagi menangani ancaman itu, Siti Kamsiah berkata PDRM terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi mengesan individu terlibat dalam kes berkaitan CSAM, selain menjalankan proses pengecaman mangsa yang terdapat dalam imej atau video dirampas untuk tindakan menyelamat dilakukan secepat mungkin.
Pada masa sama, beliau berkata pengenalan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh keupayaan negara menangani jenayah seksual dalam talian, termasuk berkaitan CSAM.
Siti Kamsiah berkata sebelum ini, kerjasama antara platform digital dan pihak berkuasa banyak bergantung kepada kerjasama sukarela yang menyebabkan proses mendapatkan maklumat dan tindakan pemadaman kandungan jenayah seksual termasuk CSAM mengambil masa yang lebih panjang.
ONSA meletakkan tanggungjawab lebih jelas kepada platform digital untuk mematuhi undang-undang Malaysia, sekali gus memudahkan proses mendapatkan maklumat pemilik akaun, mengesan suspek, mengenal pasti mangsa dan memadamkan kandungan berbahaya dengan lebih pantas.
-- BERNAMA
