AM

PROGRAM PERDA SANTUNI KOMUNITI MADANI BANTU PENDUDUK, LIBAT EMPAT LAGI LOKASI

14/06/2026 05:49 PM

TASEK GELUGOR, 14 Jun (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) akan menganjurkan Program PERDA Santuni Komuniti MADANI #PERDADiHati di empat lagi lokasi di negeri itu tahun ini bagi mendekati masyarakat luar bandar menerusi aktiviti kemasyarakatan dan bantuan kepada penduduk setempat.

Pengerusi PERDA Datuk Dr Shaik Hussein Mydin berkata lokasi telah dikenal pasti ialah Permatang Pauh, Nibong Tebal dan Balik Pulau yang akan memberi manfaat kepada lebih 12,000 orang selepas kejayaan penganjuran program pertama tahun ini di Permatang Berangan dalam Parlimen Tasek Gelugor hari ini.

Beliau berkata program itu antara agenda utama PERDA untuk mendekati rakyat selain menjadi platform menyampaikan pelbagai perkhidmatan dan bantuan kerajaan secara terus kepada komuniti.

“Konsep program itu ialah kita tidak mahu masyarakat sahaja datang kepada kita, sebaliknya PERDA sendiri pergi ke kawasan komuniti bagi mendekati penduduk dan memahami keperluan mereka.

“Program hari ini mendapat sambutan amat menggalakkan apabila lebih 3,000 penduduk hadir menyertai pelbagai aktiviti termasuk Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.

Shaik Hussein berkata demikian selepas merasmikan Program PERDA Santuni Komuniti MADANI #PERDADiHati Kawasan Permatang Berangan di Dewan Terbuka Masjid Jamek Al-Islah, Pokok Tampang di sini hari ini yang turut dihadiri Pengurus Besar PERDA Datuk Mohd Asri Baharum.

Beliau berkata PERDA memperuntukkan antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi setiap program itu dengan nilai keseluruhan manfaat disalurkan kepada komuniti termasuk sumbangan daripada agensi dan pihak persendirian dianggarkan mencecah RM200,000.

Selain itu, program tersebut juga mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menyediakan pelbagai perkhidmatan serta bantuan kepada penduduk.

“Program yang bermula pada 2023 dengan 16 siri telah dilaksanakan di seluruh Pulau Pinang, diteruskan tahun ini di lima kawasan di bawah pentadbiran PERDA dengan sasaran penglibatan 15,000 orang. Kami akan terus memperluas penganjurannya supaya lebih ramai penduduk luar bandar mendapat manfaatnya,” katanya.

Program hari ini juga melibatkan pengagihan 1,000 ekor ayam secara percuma kepada penduduk. 

Selain Program PERDA Santuni Komuniti MADANI #PERDADiHati, PERDA turut mengadakan sesi libat urus dengan usahawan dan peniaga gerai makanan bagi menyampaikan penerangan serta maklumat mengenai pengurusan premis milik PERDA yang disewakan kepada mereka.

Sementara itu, Shaik Hussein berkata pihaknya menyasarkan nilai jualan sebanyak RM2 juta menerusi penganjuran Expo PERDA (EXPERT) 2026 yang akan berlangsung di Midtown PERDA, Kubang Menerong di sini dari 2 hingga 4 Okt.

Beliau berkata expo tahunan itu dijangka menghimpunkan 250 hingga 300 usahawan dan menarik kehadiran sehingga 100,000 pengunjung sepanjang penganjurannya, dengan PERDA juga melancarkan Mini EXPERT pada hari ini bagi memperkenalkan EXPERT 2026 kepada masyarakat setempat.

“EXPERT 2026 akan dilaksanakan pada skala lebih besar berbanding sebelum ini dan sasaran jualan RM2 juta mampu dicapai berdasarkan sambutan diterima setiap kali penganjuran expo tersebut,” katanya.

Beliau berkata Midtown PERDA yang terletak dalam kawasan industri halal yang telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai lokasi penganjuran bagi memperluas pendedahan masyarakat terhadap pembangunan industri halal dan peluang keusahawanan.

Beliau berkata program tahunan PERDA itu terbukti berjaya membantu usahawan memasarkan produk dan mengembangkan rangkaian perniagaan selain memperkenalkan pelbagai peluang serta inisiatif yang memberi manfaat kepada usahawan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selaras dengan agenda PERDA memperkasakan komuniti usahawan tempatan.

Penganjuran EXPERT tahun ini bertemakan “Sinergi Halal: Memperkasakan Usahawan, Memacu Ekonomi” dijadualkan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan