PUTRAJAYA, 15 Jun (Bernama) -- Literasi media dalam kalangan masyarakat perlu diperkukuh supaya orang ramai lebih bersedia untuk menilai maklumat secara kritis dan mengenal pasti kandungan yang mengelirukan di tengah-tengah perkembangan pesat landskap media digital, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata keupayaan untuk membezakan antara maklumat sahih dan kandungan yang dimanipulasi menjadi semakin penting memandangkan masyarakat sedang memasuki era baharu yang dipacu kecerdasan buatan (AI) generatif yang membentuk semula ekosistem media global.
“Menjelang 2030, Malaysia akan memerlukan ekosistem media yang lebih berdaya tahan, lebih inovatif dan lebih dipercayai,” katanya semasa berucap pada dialog industri bertemakan Balancing Virality and Responsibility: Journalism Amid Speed, Trust and Impact di sini hari ini.
Teo berkata usaha untuk memperkukuh literasi media juga perlu dilengkapi dengan latihan yang lebih meluas dalam bidang AI, pengesahan digital dan keselamatan maklumat bagi memastikan wartawan Malaysia bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Beliau juga menyeru kerjasama lebih erat antara industri media, universiti dan kerajaan dalam membangunkan bakat serta penyelidikan berkaitan transformasi media.
Teo berkata kandungan kini dihasilkan pada skala tidak pernah berlaku sebelum ini, menjadikannya semakin mencabar untuk masyarakat menentukan sama ada sesuatu maklumat itu benar, mengelirukan atau sengaja dimanipulasi.
“Cabaran utama dalam ekonomi perhatian ialah algoritma tidak semestinya memberi ganjaran kepada kandungan paling tepat atau paling bermanfaat. Dalam banyak keadaan, algoritma memberi keutamaan kepada kandungan yang mencetuskan emosi yang kuat,” katanya.
Walaupun terdapat tekanan yang semakin meningkat untuk menyampaikan berita dengan pantas merentasi pelbagai platform, Teo berkata prinsip asas kewartawanan mesti kekal tidak berubah, dengan fakta perlu diperiksa, maklumat disahkan dan kebenaran diutamakan.
Beliau berkata organisasi media secara tradisi bersaing untuk menjadi yang pertama melaporkan sesuatu berita, tetapi perlumbaan itu menjadi jauh lebih mencabar kerana berita kini bergerak dalam masa nyata dan orang ramai menjangkakan maklumat tersedia dengan serta-merta.
“Apabila sesuatu kejadian berlaku, pelbagai versi cerita sering tersebar dalam talian sebelum wartawan dapat mengesahkan fakta. Dalam situasi ini, organisasi media menghadapi dilema yang sangat sukar. Jika mereka terlalu lambat, mereka dilihat ketinggalan. Jika mereka terlalu pantas, mereka berisiko melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan kredibiliti organisasi,” katanya.
Teo berkata masa depan media tidak akan ditentukan oleh “tular” semata-mata, namun oleh keupayaan untuk memperoleh dan mengekalkan kepercayaan masyarakat.
“Kepercayaan tidak dibina dalam sehari. Ia dibina apabila media bersedia mengakui kesilapan dan membetulkannya secara terbuka. Ia dibina apabila media meletakkan kepentingan awam melebihi usaha mengejar sensasi,” katanya.
Beliau berkata industri media adalah kompleks serta dinamik dan paling baik diuruskan melalui kawal selia kendiri yang bertanggungjawab daripada campur tangan kerajaan yang berlebihan.
Teo berkata pemahaman itu telah membimbing usaha Kerajaan MADANI untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia (MMM) yang berjaya diwujudkan pada 2025 selepas bertahun-tahun perbincangan dan advokasi oleh pihak berkepentingan industri.
Mengenai mekanisme aduan majlis itu, beliau berkata Fasa Kedua dilaksanakan pada 8 April tahun ini dan telah menunjukkan kemajuan yang menggalakkan, dengan 14 aduan melibatkan isu seperti ketepatan laporan, penggunaan gambar tanpa kebenaran dan perkara yang menjejaskan keharmonian sosial diterima dalam masa kurang dua bulan.
Daripada jumlah aduan itu, 12 berjaya diselesaikan manakala selebihnya kini dalam penelitian.
-- BERNAMA
