AM

NAHAS KARAK: KIRIMAN GAMBAR JADI KENANGAN TERAKHIR A HALIM BUAT KELUARGA

15/06/2026 04:41 PM

TEMERLOH, 15 Jun (Bernama) -- Pemandu lori A Halim Hasoon sempat mengirim gambar kepada keluarga terdekat sebelum terlibat dalam kemalangan di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di Bentong, semalam.

Abang mangsa Razali, 57, berkata A Halim, 55, mengirim gambar itu menerusi aplikasi WhatsApp beberapa jam sebelum terlibat kemalangan menyayat hati itu. 

“Halim menghantar gambar makan bersama-sama isteri, anak dan cucu sebelum kemalangan. Tak sangka itu kali terakhir Allahyarham berhubung dengan kami,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini hari ini.

Razali berkata mendapat tahu tentang kemalangan itu menerusi aplikasi TikTok dan bertolak dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke sini untuk mendapatkan maklumat lanjut. 

Sementara itu, isteri Razali, Mazura Bakar, 50, berkata dirinya begitu rapat dengan adik iparnya sejak Allahyarham belum mendirikan rumah tangga. 

“Arwah sering berkongsi cerita dengan saya kerana mereka tiada adik-beradik perempuan... apa pun masalah akan berkongsi dengan saya. Kali terakhir kami berjumpa ketika Aidilfitri,” katanya. 

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, A Halim dan isteri Rozita Buang, 58, anak Norbahyah, 26, serta cucu Nayla Afya Aizat Faizal yang berusia setahun maut selepas treler membawa muatan habuk besi menghempap kereta Honda City dinaiki mereka. 

Jenazah empat sekeluarga itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mempaga, Bentong selepas solat asar hari ini. 

Tinjauan Bernama di Unit Perubatan Forensik HoSHAS mendapati pasukan Psychological First Aid turut berada di situ bagi memberi sokongan kepada ahli keluarga mangsa jika diperlukan.

Sementara itu, Zaiham berkata pemandu berkenaan direman empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengendali Lebuhraya KLK, AFA Prime Bhd memaklumkan berlaku kesesakan trafik setakat 2.47 petang ini dari Kilometer 40.8 hingga 43.3 berikutan kerja-kerja pengalihan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.

Difahamkan, treler berkenaan turut terbakar ketika operasi mengalihkan kenderaan sedang dijalankan semalam selepas kesemua mangsa berjaya dikeluarkan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan