POLITIK

PH PULAU PINANG HASRAT TAMPIL LEBIH RAMAI CALON WANITA PADA PRN AKAN DATANG - CHOW

15/06/2026 03:47 PM

GEORGE TOWN, 15 Jun (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berhasrat meletakkan lebih ramai calon wanita pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang walaupun mengenal pasti jumlah calon yang sesuai dan sanggup bertanding masih menjadi cabaran, kata pengerusinya Chow Kon Yeow. 

Beliau berkata PH Pulau Pinang kekal komited untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam politik dan pembuat keputusan, namun terus berhadapan kesukaran mencari wanita yang sesuai dan sedia bertanding.

“Ini sememangnya aspirasi kami. Dalam setiap pilihan raya, kami akan meletakkan calon wanita tetapi jumlah sebenar bergantung kepada jika terdapat calon yang mencukupi, sesuai dan sedia bertanding.

“Walaupun kami berhasrat untuk mempunyai lebih ramai calon wanita, terlebih dahulu mesti terdapat calon yang cukup untuk kami pilih. Itu isu yang perlu ditangani,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Ekonomi dan Perniagaan Wanita Sedunia 2026 di sini hari ini.

Chow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata walaupun wanita telah mencapai kemajuan yang ketara dalam sektor seperti pendidikan, perniagaan, kejuruteraan dan perkhidmatan awam namun penyertaan mereka dalam politik terus berhadapan cabaran tersendiri.

Beliau berkata PH Pulau Pinang proaktif dalam menyokong sasaran 30 peratus itu, namun jumlah wanita yang sanggup bertanding masih agak kecil berikutan tekanan dan cabaran yang berkaitan dengan penyertaan dalam politik.

Terdahulu, Chow semasa berucap berkata sasaran Malaysia bagi 30 peratus perwakilan wanita dalam politik yang diperkenalkan pada 2009 masih belum dicapai, dengan wanita kini hanya merangkumi 13.5 peratus Ahli Parlimen dan 12 peratus Ahli Dewan Undangan Negeri di seluruh negara.

Beliau berkata jurang itu memerlukan komitmen baharu dan tindakan konkrit selain parti politik harus mempertimbangkan untuk menginstitusikan sasaran 30 peratus dalam proses pemilihan calon mereka.

Selain itu, Chow berkata parti politik juga harus memastikan perwakilan wanita yang sama rata dalam jawatankuasa pembuat keputusan dan mengukuhkan akses kepada sumber serta bimbingan terhadap pelapis pemimpin wanita.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan