KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Pada ketika musim Piala Dunia FIFA 2026 sedang berlangsung di pentas bola sepak global, banyak atlet dan pemain rekreasi kembali ke padang, sekali gus mendedahkan tubuh mereka kepada tekanan berulang akibat pecutan, hentian mengejut dan sepakan yang kuat.
Walaupun bola sepak terus menjadi antara sukan yang paling banyak dimainkan dan diikuti di Malaysia, tuntutan fizikal permainan itu meningkatkan risiko kecederaan, terutamanya bagi mereka yang kembali melakukan aktiviti berintensiti tinggi tanpa persediaan dan latihan fizikal yang konsisten.
Perunding Bedah Ortopedik Trauma dan Sukan Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Aminudin Mohamed Shamsudin berkata kecederaan hamstring, menjejaskan kira-kira 10 hingga 30 peratus ahli sukan dan menyumbang hampir 35 peratus daripada keseluruhan kecederaan otot dalam kalangan atlet profesional.
Beliau berkata hamstring yang terdiri daripada tiga otot yang terletak pada bahagian belakang paha dan memanjang dari pinggul hingga ke bahagian bawah lutut, memainkan peranan penting dalam menyokong kelajuan, kawalan dan kestabilan semasa permainan.
“Apabila otot-otot ini menerima tekanan yang melampau, serat otot boleh meregang melebihi hadnya, menyebabkan berlakunya ketegangan otot, koyakan separa atau dalam kes yang lebih serius, terpisah sepenuhnya daripada tulang,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Aminudin berkata otot hamstring, bertindak sebagai sistem brek dan pemecut badan semasa bersukan dengan membantu menyerap daya, mengawal pergerakan dan menjana kuasa.
Beliau berkata kecederaan hamstring, berbeza dari segi tahap keterukan. Kes ringan melibatkan kerosakan pada sebahagian serat otot, menyebabkan kesakitan dan ketidakupayaan yang bersifat sementara, dengan tempoh pemulihan sebelum kembali bersukan lazimnya mengambil masa sekitar empat hingga enam minggu.
“Kecederaan sederhana pula mungkin melibatkan koyakan otot yang lebih besar, lebam yang ketara dan memerlukan tempoh pemulihan antara tiga hingga empat bulan, manakala kecederaan serius mengakibatkan kesakitan yang teruk, kehilangan fungsi otot dan tempoh rehat daripada aktiviti sukan yang lebih panjang.
“Dalam sesetengah kes, tendon hamstring boleh tertarik sehingga terpisah daripada tulang, keadaan yang dikenali sebagai kecederaan avulsi dan memerlukan pembedahan untuk membaikinya,” katanya.
Sementara itu, Perunding Bedah Ortopedik, Trauma dan Ortopedik Pediatrik SMCV Dr Maria Shelynn Wong berkata kanak-kanak dan remaja berusia antara 13 hingga 15 tahun yang bermain bola sepak, futsal atau sukan padang lain, juga berisiko mengalami kecederaan, namun jenis kecederaan yang dialami mungkin berbeza daripada ketegangan otot yang lazim berlaku dalam kalangan orang dewasa.
Beliau berkata pada usia muda, tulang masih dalam proses pertumbuhan dan plat pertumbuhan mungkin lebih lemah berbanding tendon serta ligamen di sekelilingnya, sekali gus menjadikannya lebih mudah terdedah kepada kecederaan ketika melakukan pergerakan mengejut dan berintensiti tinggi.
Dr Maria berkata dalam sesetengah kes, tarikan kuat secara tiba-tiba daripada otot hamstring boleh mencederakan plat pertumbuhan, bukannya mengoyakkan otot itu sendiri, menyebabkan serpihan kecil tulang tertarik keluar daripada pelvis dalam kecederaan yang dikenali secara perubatan sebagai patah avulsi apofisis.
Walaupun kecederaan seperti ini jarang berlaku dan hanya mewakili antara 1.4 peratus hingga empat peratus daripada keseluruhan kecederaan hamstring, Dr Maria berkata ia penting untuk dikenal pasti kerana memerlukan pendekatan penilaian yang berbeza serta pemeriksaan X-ray, imbasan tomografi berkomputer (CT) atau pengimejan resonans magnetik (MRI) bagi mengesahkan diagnosis.
“Tanda amaran termasuk sensasi bunyi atau rasa seperti ‘pop’ atau koyakan secara tiba-tiba pada bahagian punggung atau belakang paha, kesakitan setempat dan bengkak di sekitar tulang duduk, kesukaran berjalan atau meluruskan lutut serta rasa kebas dan kesemutan yang menjalar ke bahagian kaki,” kata Dr Maria.
Memandangkan tanda-tanda itu mungkin menunjukkan kecederaan yang serius, pemeriksaan pengimejan amat penting untuk mengesahkan sama ada berlaku keretakan tulang. Pemeriksaan X-ray boleh membantu mengenal pasti kecederaan tulang pada plat pertumbuhan, manakala imbasan CT atau MRI mungkin diperlukan untuk penilaian lanjut.
Berdasarkan penilaian itu, doktor dapat menentukan pelan pemulihan yang paling sesuai berdasarkan tahap peralihan tulang, usia pesakit dan tahap aktiviti mereka.
Dr Maria berkata kebanyakan kes dirawat secara konservatif menerusi rehat dan fisioterapi, manakala pembedahan biasanya hanya disyorkan bagi kes yang melibatkan peralihan tulang yang ketara atau atlet berprestasi tinggi.
Kedua-dua pakar menegaskan bahawa atlet tidak seharusnya tergesa-gesa untuk kembali bersukan, kerana kesakitan mungkin hilang sebelum otot hamstring pulih sepenuhnya dari segi kekuatan dan fungsinya.
Mereka berkata diagnosis awal, rawatan yang bersesuaian dan program rehabilitasi yang tersusun amat penting, bagi mengurangkan risiko kecederaan berulang serta memastikan atlet dapat kembali beraksi dengan selamat.
Secara keseluruhannya, kecederaan hamstring tidak seharusnya dipandang ringan apabila simptom yang dialami adalah teruk, berpanjangan atau berulang. Ini kerana kecederaan yang pada awalnya kelihatan seperti tarikan otot semasa bersukan mungkin sebenarnya melibatkan koyakan yang lebih serius atau dalam kalangan atlet muda, kecederaan pada plat pertumbuhan yang memerlukan penilaian serta rawatan yang berbeza.
-- BERNAMA
