KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Masjid Putra di Putrajaya pagi ini menjadi tumpuan kira-kira 5,000 tetamu tempatan dan antarabangsa bagi memeriahkan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dijadual berangkat menyempurnakan majlis bertemakan "MADANI Dihayati, Ummah Diberkati" itu yang bermula pada 9 pagi.
Majlis penuh keberkatan itu dijangka dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, barisan Jemaah Menteri, perwakilan asing, ketua-ketua jabatan serta pegawai kanan kerajaan.
Tumpuan utama majlis pastinya titah Sultan Nazrin yang seterusnya akan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Tokoh Maal Hijrah bagi kategori Kebangsaan dan Antarabangsa.
Penganugerahan berprestij itu merupakan pengiktirafan kepada tokoh yang memenuhi kriteria ditetapkan, termasuk memiliki pengetahuan luas dalam disiplin ilmu diceburi, sahsiah terpuji serta sumbangan cemerlang dalam pembangunan syiar Islam di peringkat global mahupun domestik.
-- LAGI
MAAL HIJRAH-PENDAHULU 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), tema tahun ini dipilih sebagai pemangkin bagi mengajak umat Islam menghayati semangat hijrah Rasulullah SAW yang menjadi titik permulaan pembinaan tamadun Islam unggul.
Keistimewaan sambutan tahun ini ialah program Tausiyyah @ Maal Hijrah yang diadakan di Masjid Putra semalam sebagai pengisian baharu yang memberi fokus kepada tadabbur ayat al-Quran, sekali gus mengajak umat Islam menghayati makna hijrah sebagai titik perubahan dalam kehidupan.
Pendekatan itu membolehkan peserta bukan sahaja mendengar bacaan al-Quran oleh qari terbaik, malah memahami mesej, hikmah dan panduan daripada ayat-ayat yang dibacakan untuk diterapkan dalam kehidupan seharian.
Sebagai pengisian susulan, Majlis Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan dan Antarabangsa 1448H/2026 akan diadakan esok di Auditorium Kompleks Islam Putrajaya bermula 9 pagi, bagi memberi peluang kepada penerima anugerah berkongsi ilmu serta inspirasi.
-- BERNAMA
