EVIAN-LES-BAINS (Perancis), 17 Jun (Bernama-Kyodo) -- Pemimpin negara Kumpulan Tujuh (G7) yang berhimpun di Perancis bagi menghadiri sidang kemuncak tahunan mereka pada Selasa bersetuju meningkatkan sokongan kepada Ukraine, manakala Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menggesa Rusia merundingkan perjanjian damai seperti yang dilakukan beliau dengan Iran sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Menurut Kyodo News, para pemimpin berkenaan bersetuju untuk terus bekerjasama bagi mencapai "keamanan yang adil dan berkekalan" di Ukraine dengan mengekalkan tekanan terhadap Rusia selepas mendengar taklimat secara langsung daripada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengenai situasi semasa negara itu, kata seorang pegawai Jepun.
Konsensus itu dicapai meskipun hubungan antara Trump dan kuasa-kuasa Eropah semakin tegang berhubung pelbagai isu termasuk perdagangan, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), cadangan beliau untuk mengambil alih Greenland serta perang AS-Israel dengan Iran yang tercetus baru-baru ini.
"Rusia perlu mencapai perjanjian. Rusia telah kehilangan begitu ramai rakyat, begitu juga Ukraine," kata Trump kepada pemberita selepas menghadiri sesi bersama pemimpin G7 lain di Evian-les-Bains, sebuah bandar peranginan di Perancis berhampiran sempadan Switzerland di tebing Tasik Geneva.
Trump berkata beliau akan melakukan apa sahaja yang mampu untuk menamatkan konflik antara dua negara jiran itu.
Beliau turut meemberi bayangan bahawa AS boleh menamatkan pelonggaran sementara sebahagian sekatan ke atas Rusia yang diperkenalkan bagi menurunkan harga minyak susulan perang Iran.
"Tidak lama lagi kita akan dapat berbuat demikian kerana minyak kini kembali mengalir," katanya sambil merujuk kepada perjanjian dengan Iran untuk membuka semula Selat Hormuz, laluan penting penghantaran minyak dunia.
Zelenskyy menerusi media sosial berkata tumpuan pertemuannya dengan pemimpin G7 adalah untuk "memperkukuh pertahanan udara Ukraine dan memajukan usaha diplomatik" sebagai sebahagian daripada usaha "memaksa Rusia menamatkan perang. Keamanan amat diperlukan."
Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi memberitahu rakan sejawatannya dalam G7 dan Zelenskyy bahawa perpaduan kumpulan itu perlu dikekalkan bagi mendorong Rusia mengambil "tindakan positif dan konkrit dengan segera", menurut pegawai berkenaan.
Beliau turut dipetik sebagai berkata bahawa sebarang usaha untuk "mengubah status quo secara unilateral melalui kekerasan tidak boleh diterima", sambil menyuarakan kebimbangan terhadap kerjasama ketenteraan antara Rusia dan Korea Utara serta hubungan ketenteraan yang semakin erat antara Rusia dan China.
Pada hari kedua sidang kemuncak tiga hari itu, situasi di Asia Barat dan reformasi kerjasama pembangunan antarabangsa turut menjadi agenda utama.
Selain Zelenskyy, Perancis selaku pengerusi G7 tahun ini turut menjemput pemimpin beberapa negara di luar kumpulan itu termasuk Brazil, Mesir, India, Qatar, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Semasa sesi makan tengah hari pada Selasa, pemimpin G7 bersama pemimpin Mesir, Qatar dan UAE mengadakan perbincangan terperinci mengenai perang Iran yang kini hampir memasuki bulan keempat serta kesannya.
Para pemimpin mengalu-alukan perjanjian awal antara AS dan Iran untuk menamatkan peperangan serta membuka semula Selat Hormuz, dan bersetuju untuk terus berusaha ke arah keamanan dan kestabilan di Asia Barat, menurut pegawai Jepun itu.
Takaichi berkata adalah penting untuk memastikan kebebasan dan keselamatan pelayaran di laluan perkapalan strategik itu serta memuktamadkan perjanjian antara Washington dan Tehran secepat mungkin.
-- BERNAMA-KYODO
