Oleh Razif Rosli
IPOH, 17 Jun (Bernama) -- Pengalaman sedekad sebagai wartawan sukan mendorong Meor Abdullah Syamim Meor Lod Ismail, untuk mendokumentasikan detik-detik berharga arena sukan negara agar terus kekal dalam ingatan peminat.
Wartawan sukan The Vocket berusia 37 tahun itu, memilih untuk mengabadikan perjalanan dramatik perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 antara Perak dan Terengganu menerusi buku “KEJOR: 120 Minit Gila di Shah Alam”, yang dilancarkan di sini baru-baru ini.
Bercakap kepada Bernama, beliau berkata peranan pengamal media pada masa kini tidak lagi terbatas kepada pelaporan keputusan perlawanan semata-mata.
“Dalam era media sosial yang bergerak pantas, kandungan digital mudah tenggelam, manakala buku fizikal mampu menjadi arkib yang bertahan puluhan tahun. Sebab itu dokumentasi seperti ini penting supaya sejarah bola sepak tempatan tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Menceritakan mengapa beliau memilih final di Stadium Shah Alam itu untuk dibukukan, Meor Abdullah Syamim berkata perlawanan berkenaan bukan sahaja menguji emosi, malah menyatukan ribuan penyokong dan meninggalkan kenangan yang masih segar sehingga hari ini.
“Keinginan menghasilkan buku ini lahir daripada rasa tanggungjawab untuk memastikan perjalanan Perak menjulang Piala Malaysia 2018 terus diingati generasi akan datang. Ia satu peristiwa bersejarah yang terlalu besar untuk dilupakan,” katanya.
Buku itu memfokuskan perjalanan Perak dalam aksi final penuh dramatik yang menyaksikan skuad The Bos Gaurus bangkit daripada ketinggalan dua gol, layangan kad merah dan gol di minit akhir, sebelum menamatkan penantian 18 tahun untuk menjulang Piala Malaysia menerusi penentuan penalti.
Meor Abdullah Syamim berkata beliau sendiri menyangka Terengganu bakal muncul juara dan telah menyiapkan laporan memihak kepada skuad Penyu, sebelum kebangkitan Perak mengubah segala-galanya pada penghujung perlawanan.
Berkongsi proses menghasilkan buku tersebut, beliau berkata ia bermula pada penghujung Disember 2025 dan mengambil masa kira-kira lima bulan untuk disiapkan.
“Cabaran terbesar ialah mendapatkan maklumat terperinci daripada pelbagai pihak termasuk bekas pemain, jurulatih dan penyokong sendiri, bagi memastikan naskhah itu benar-benar menggambarkan suasana sebenar ketika kempen 2018 berlangsung,” katanya.
Buku berkenaan dijual pada harga RM39.90 dan ketika ini boleh diperoleh menerusi laman Facebook serta TikTok miliknya, sebelum diperluas ke platform TikTok Shop dan Shopee dalam masa terdekat.
Beliau berkata cetakan pertama, menerima sambutan menggalakkan apabila 220 daripada 300 naskah telah terjual menerusi tempahan awal.
-- BERNAMA
