IPOH, 17 Jun (Bernama) -- Koordinator Sekretariat Bersama Dara, Amoi dan Kelat (DAK) Neow Choo Seong hari ini berjaya menamatkan Larian Solidariti Bersama DAK sejauh 50 kilometer (km) dari Taiping ke Ipoh bagi melengkapkan misi menyuarakan isu kebajikan haiwan itu di Dewan Rakyat.
Neow yang memulakan hari pertama larian dari Taiping pada 5 pagi menamatkan larian di Dataran Ipoh kira-kira 6.50 petang tadi.
“Jarak asal yang dirancang hari ini adalah 60 km tetapi saya terpaksa memendekkannya kepada 50 km kerana mengalami kecederaan lutut.
“Namun, ia tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan larian ini. Selepas berehat seketika dan mendapatkan rawatan, saya sambung semula larian dari Chemor ke Ipoh,” katanya ketika ditemui selepas menamatkan larian di sini hari ini.
Beliau berkata laluan hari pertama merentasi Taiping, Kuala Kangsar, Padang Rengas dan Ipoh antara cabaran besar kerana keadaan jalan yang berbukit serta berliku.
Neow berkata beliau akan mendapatkan rawatan malam ini dan mengambil ubat tahan sakit jika perlu demi sasaran untuk sampai ke Parlimen sebelum persidangan bermula.
“Saya nak bawa mesej DAK ini dan saya tetap berazam untuk menamatkan larian sebelum hari pertama persidangan Dewan Rakyat pada pagi 22 Jun ini,” katanya.
Beliau berkata satu petisyen berkaitan isu itu akan diserahkan kepada Parlimen bagi membolehkan perkara berkenaan dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
Esok, Neow dijadualkan meneruskan larian dari Ipoh ke Kampar pada 5 pagi sebelum menghadiri sesi bersama pelajar dan pencinta haiwan di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar.
Sebelum ini, Neow dilaporkan akan berlari secara solo melibatkan jarak keseluruhan 290 km dari Taiping ke Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur yang mengambil masa enam hari bertujuan membawa suara solidariti tentang isu kebajikan DAK, tiga ekor gajah yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Jepun.
-- BERNAMA
