EKONOMI

LAWATAN KE TURKMENISTAN, MALAYSIA TINJAU POTENSI BESAR KERJASAMA PELBAGAI SEKTOR

18/06/2026 08:14 AM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

ASHGABAT (TURKMENISTAN), 18 Jun (Bernama) -- Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkmenistan amat signifikan kerana bukan sahaja untuk meningkatkan peluang kerjasama sektor minyak dan gas malah juga dalam pelbagai industri dan sektor lain seperti pengangkutan, logistik dan pertanian antara kedua-dua negara.

Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan Mohd Suhaimi Ahmad Tajuddin berkata lawatan rasmi pada 18 hingga19 Jun ini juga dijangka memberikan peluang kepada kedua-dua pihak untuk meneroka lebih banyak potensi kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pengajian tinggi serta pelancongan.

Lawatan Anwar juga akan mengorak laluan dan ruang untuk kalangan syarikat Malaysia melonjakkan eksport terutama dalam industri halal dan kelapa sawit, katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan mengenai lawatan itu di sini, pada Rabu.

Bagaimanapun, antara paling utama ialah syarikat petroleum negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bakal membuka lembaran baharu dan meneruskan operasi di negara yang menjadi satu daripada pengeluar minyak dan gas terbesar dunia, bagi tempoh 20 hingga 25 tahun lagi, katanya.

Beliau berkata usaha itu akan dapat direalisasikan dengan perjanjian yang dijangka dimeterai semasa lawatan rasmi Anwar.

Mohd Suhaimi berkata lawatan Perdana Menteri atas jemputan Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov sekali gus sebagai membalas lawatan rasmi yang dilaksanakan Berdimuhamedov ke Malaysia pada 18 hingga 19 Dis, 2024.

Beliau berkata Petronas telah beroperasi di Turkmenistan, yang terkenal dengan jolokan negara 'Marmar Putih’ itu, sejak 1996 dan telah membuat pelaburan bernilai US$11.8 bilion.

Tahun lepas, Petronas telah memeterai perjanjian baharu dengan pihak Turkmenistan dan rakan kongsi baharu iaitu XRG, yang merupakan anak syarikat pelaburan antarabangsa Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC), katanya.

"Perjanjian tersebut membolehkan Petronas terus beroperasi di Turkmenistan bagi tempoh 20 hingga 25 tahun lagi. Peluang baharu dijangka dibincangkan oleh Perdana Menteri dan Presiden Turkmenistan.

“Hasil perbincangan dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri menerusi sidang media yang akan adakan sebelum beliau berlepas pulang," katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)  Datuk Seri Johari Abd Ghani; Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan kalangan pegawai kanan.

Lawatan itu adalah lawatan rasmi yang pertama Anwar ke Turkmenistan dan kali kelima oleh Perdana Menteri Malaysia.

Mohd Suhaimi berkata Perdana Menteri dijangka tiba di Ashgabat pada 18 Jun, 2026 pukul 8.30 malam waktu tempatan seterusnya menyertai majlis Makan Malam Bersama Diaspora Malaysia dan Sahabat-sahabat Malaysia.

Acara rasmi Perdana Menteri bermula pada 19 Jun dengan Majlis Sambutan Rasmi oleh Presiden Turkmenistan di Istana Presiden, diikuti dengan Mesyuarat Empat Mata, Mesyuarat Dua Hala, Majlis Pemeteraian Kenyataan Bersama oleh kedua-dua pemimpin serta Majlis Pertukaran Perjanjian dan Memorandum Persefahaman yang telah sedia dimeterai oleh kedua-dua kerajaan.

Perdana Menteri juga dijadualkan menghadiri majlis Makan Tengahari Rasmi oleh Presiden Berdimuhamedov di Istana Presiden sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Gypjak bersama-sama Mufti Turkmenistan, Yalkap Hojagulyyev dan jemaah tempatan.

Beliau turut dijadualkan menghadiri Forum Turkmenistan-Malaysia yang akan diadakan bagi menyambut ulang tahun ke-30 kerjasama dua hala dalam sektor minyak dan gas di Dewan Perdagangan dan Industri Turkmenistan serta mengadakan sidang media bersama media Malaysia sebelum mengakhiri lawatan.

Mohd Suhaimi berkata selain perbincangan mengenai industri minyak dan gas, lawatan itu juga dijangka membincangkan lebih banyak peluang pelaburan dalam sektor pengangkutan dan logistik, serta industri seperti tekstil dan pertanian.

"Selain itu, Turkmenistan juga berminat untuk mendapatkan kerjasama Malaysia bagi pengeluaran industri halal, industri berkaitan dengan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan animasi digital," katanya.

Beliau berkata pada masa ini terdapat sebanyak 177 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan dan kebanyakan mereka adalah warga kerja Petronas Carigali Turkmenistan Sdn Bhd dan ahli keluarga serta pekerja syarikat minyak dan gas antarabangsa lain.

Pada 2025, jumlah dagangan kedua-dua negara mencecah RM75.80 juta (US$17.71 juta) dengan lebihan dagangan berpihak kepada Malaysia sebanyak RM75.20 juta (US$17.58 juta) .

Eksport utama Malaysia adalah hasil pertanian yang merangkumi 68.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport, terutama kopi, peralatan kejuruteraan, produk berasaskan kelapa sawit, produk berasaskan kimia dan minyak sawit.

Menerusi penerbangan dua kali seminggu, Malaysia mencatatkan sebanyak 10,751 pelancong dari Turkmenistan pada 2025, peningkatan yang ketara berbanding kira-kira 7,545 pelancong pada 2024 dan 1,116 orang pada 2023.

Turkmenistan Airlines pula mencatatkan bilangan penumpang dari Malaysia yang konsisten iaitu kira-kira 2,000 penumpang setiap bulan yang menggunakan syarikat penerbangan tersebut untuk ke Jeddah, Arab Saudi bagi menunaikan umrah.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan