AM

HAWANA 2026 BAKAL JADI PEMANGKIN PELANCONGAN DAN EKONOMI KREATIF PULAU PINANG - EXCO

18/06/2026 10:45 AM

GEORGE TOWN, 18 Jun (Bernama) -- Penganjuran Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pulau Pinang bakal memangkin sektor pelancongan dan ekonomi kreatif negeri menerusi pendedahan media berskala besar yang mampu memperkukuh jenama Pulau Pinang di peringkat serantau.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah HAWANA buat julung kali merupakan satu pengiktirafan terhadap keupayaan negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama negara dan lokasi penganjuran acara bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata acara berprestij yang menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media dan delegasi dari Malaysia serta negara ASEAN itu membuka peluang luas untuk memperkenalkan keunikan warisan budaya, kepelbagaian gastronomi, produk pelancongan serta kekuatan sektor ekonomi kreatif Pulau Pinang.

"Melalui kehadiran media dari seluruh negara dan rantau ASEAN ini, Pulau Pinang akan menerima pendedahan yang luas dan bernilai tinggi, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi pelancongan utama di Malaysia.

"Ini juga dijangka memberi kesan ekonomi langsung dan tidak langsung kepada negeri kerana kehadiran ribuan pengunjung dan petugas media akan meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan hotel, makanan dan minuman, pengangkutan, pusat beli-belah serta tarikan pelancongan tempatan," katanya kepada Bernama, hari ini.

Mengulas mengenai tahap kesiapsiagaan negeri sebagai tuan rumah, Wong berkata maklum balas awal daripada pemain industri pelancongan menyaksikan kadar tempahan bilik hotel menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan sempena HAWANA 2026.

Beliau berkata Seberang Perai yang dipilih sebagai lokasi utama program mempunyai kapasiti penginapan yang mencukupi bagi menampung kehadiran peserta dan pengunjung sepanjang tiga hari acara berkenaan berlangsung mulai 19 hingga 21 Jun.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan media sebagai rakan strategik penting dalam usaha mempromosikan destinasi pelancongan dan memperkukuh pembangunan ekonomi kreatif sesebuah negeri.

Wong berkata media membantu memperkenalkan destinasi, mempromosikan produk pelancongan serta membina keyakinan pelawat melalui penyampaian maklumat yang tepat dan berkesan.

"Bagi sektor ekonomi kreatif pula, media membantu mengetengahkan bakat tempatan, karya seni, acara kebudayaan dan inisiatif kreatif yang mampu meningkatkan nilai ekonomi serta identiti sesebuah negeri.

"Justeru, kerajaan negeri menghargai sumbangan media sebagai rakan pembangunan yang membantu memacu pertumbuhan pelancongan, ekonomi kreatif dan imej positif Pulau Pinang di peringkat nasional serta antarabangsa," katanya.

Wong yakin penganjuran HAWANA 2026 akan meninggalkan impak positif bukan sahaja kepada industri media, malah kepada keseluruhan ekosistem pelancongan dan ekonomi kreatif Pulau Pinang.

Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jun ini di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena, dijangka disertai kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

Mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, HAWANA 2026 yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, adalah platform kemuncak penghargaan terhadap sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di negara ini.

Bersempena dengan HAWANA 2026, Karnival RIUH Pi HAWANA turut diadakan di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena yang berlangsung selama tiga hari bermula esok.

Karnival itu dijangka menarik kira-kira 30,000 pengunjung dan menghimpunkan lebih 24 jenama produk kreatif tempatan serta 20 vendor makanan dan minuman, selain bengkel interaktif yang memberi peluang kepada orang ramai meneroka pelbagai aktiviti kreatif.

Selain itu pengunjung juga akan turut dihiburkan dengan 16 persembahan pentas menampilkan artis tempatan seperti Exists, Bunkface, Masdo, Sakura Band, Budak Nakal Hujung Simpang dan Chelsea Ng dengan kemasukan percuma.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan