KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- AirAsia X Bhd (AAX) muncul antara kaunter paling aktif diniagakan di Bursa Malaysia pada awal dagangan hari ini, dengan penganalisis mengekalkan saranan “beli” berikutan jangkaan pemulihan kukuh pada suku kedua 2026, disokong permintaan perjalanan yang terus teguh serta tekanan kos yang semakin reda.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menjangkakan AAX mencatatkan pemulihan ketara selepas suku kedua 2026, didorong oleh permintaan penumpang yang berdaya tahan, harga bahan api jet yang semakin stabil dan kelemahan dolar AS.
Dalam nota penyelidikannya, HLIB berkata permintaan perjalanan kekal kukuh pada suku pertama 2026, dengan trafik penumpang mencatatkan pertumbuhan sihat di pasaran serantau utama, termasuk Malaysia yang meningkat 12.1 peratus tahun ke tahun.
Bagaimanapun, ia berkata konflik AS-Iran mencetuskan peningkatan tambang penerbangan, mengganggu corak perjalanan dan sedikit sebanyak menjejaskan permintaan sejak Mac 2026.
Sehubungan itu, syarikat penerbangan termasuk AAX melaksanakan langkah rasionalisasi kapasiti bagi menyesuaikan penawaran dengan keadaan permintaan yang lebih perlahan pada suku kedua 2026.
“Dengan konflik yang semakin reda dan harga bahan api jet terus menunjukkan trend menurun, kami menjangkakan permintaan perjalanan udara akan kembali pulih, khususnya di pasaran Timur Tengah.
“Digabungkan dengan peningkatan keyakinan pengguna serta pengurangan ketidaktentuan geopolitik, perkembangan ini dijangka menyokong pemulihan permintaan perjalanan udara serantau dalam beberapa suku akan datang, terutama menjelang suku keempat 2026 (4Q 2026) yang lazimnya lebih rancak. AAX juga akan terus memanfaatkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
HLIB mengekalkan saranan “beli” terhadap saham AAX dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.20.
Sehingga pertengahan dagangan pagi ini, saham AAX meningkat dua sen kepada RM1.33 dengan sebanyak 18.72 juta saham bertukar tangan.
-- BERNAMA
