POLITIK

PRN JOHOR: ONN HAFIZ NASIHAT INDIVIDU TIDAK TERPILIH SEBAGAI CALON TERUS ISTIQAMAH PERJUANGKAN PARTI

18/06/2026 12:00 PM

JOHOR BAHRU, 18 Jun (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menasihati individu yang tidak terpilih sebagai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini supaya terus istiqamah dengan perjuangan parti.

Menteri Besar Johor itu berkata semangat untuk membangunkan parti harus kekal teguh dengan meletakkan rakyat sebagai objektif utama perjuangan.

“Tidak dipilih bukan pengakhiran, sebab lepas ini mungkin ada tanggungjawab lain sebagai ahli Parlimen, ada yang mungkin boleh berkhidmat sebagai jentera parti, kerana kerusi adalah terhad.

“Sama seperti parti lain, mereka pun akan menghadapi perkara yang sama, tetapi yang penting kita kena terus istiqamah dalam perjuangan parti, yang pada akhirnya berkhidmat untuk rakyat,” katanya dalam temu bual khas dengan pengamal media cetak dan portal berita dalam talian di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, di Saujana, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai nasihat kepada individu yang tidak tercalon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor kali ini.

Penyandang kerusi DUN Machap itu berkata setakat ini sebanyak 80 peratus proses pemilihan calon BN telah selesai, namun sebarang keputusan akhir boleh berubah selagi seseorang itu belum menerima watikah.

“Dalam 80 peratus ini semua boleh berubah, tiada yang muktamad sehingga hari anda menerima watikah, (kerana) ada yang (sebelum ini) pernah dapat watikah kena tarik balik,” katanya.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata kriteria pemilihan calon meliputi pelbagai latar belakang pekerjaan dan tidak terhad kepada sesuatu peringkat usia serta harus dikenali di kawasan DUN berkenaan.

“Calon itu mestilah orang tempatan, dikenali di kawasan dan mesti diterima oleh masyarakat. Maksudnya seperti yang Presiden BN cakap (sebelum ini), calon winnable, acceptable dan likeable (WALI). 

“Bagi saya, tua, muda bukanlah faktor utama, sebagai calon dia mesti boleh berkhidmat untuk rakyat, tidak guna ada orang muda bertenaga, tetapi dia tidak boleh berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata sebarang keputusan pemilihan calon juga tidak diputuskan bersendirian dan perlu mendapat kelulusan daripada Presiden BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pucuk pimpinan parti.

Sementara itu, beliau berkata pengundi muda dan mereka yang baharu kali pertama mengundi merupakan segmen sangat penting dalam menentukan pembentukan kerajaan negeri.

“Mereka yang berumur di bawah 40 tahun merangkumi 20 hingga 40 peratus penduduk (di Johor), tetapi majoriti wakil rakyat kita sudah buat engagement dan saya rasa mereka tahu pengundi muda kita bergantung harap,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Johor termasuk mereka yang bekerja di Singapura supaya menunaikan tanggungjawab mengundi pada 11 Julai depan.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri yang dipimpinnya telah berusaha memberikan yang terbaik untuk rakyat dan bersedia untuk terus berkhidmat jika sekali lagi diberikan mandat mentadbir Johor.

“Sebagai sebuah negeri yang mengamalkan demokrasi, lagi ramai yang keluar (mengundi) lagi bagus untuk beri gambaran yang baik (bahawa di Johor) ramai pengundi keluar. Saya sudah berusaha melakukan yang terbaik, insya-Allah kalau diberikan sekali lagi, kita akan meneruskan untuk memberikan yang terbaik untuk Bangsa Johor,” katanya. 

PRN Johor 2026 akan berlangsung 11 Julai ini, manakala 27 Jun ditetapkan sebagai hari penamaan calon dan pengundian awal pada 7 Julai.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan