AM

PDRM GERAK 11,926 ANGGOTA, PEGAWAI UNTUK PRN JOHOR

18/06/2026 04:28 PM

JOHOR BAHRU, 18 Jun (Bernama) - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan sebanyak 11,926 pegawai dan anggotanya bagi memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata  jumlah itu meliputi 11,204 anggota, 610 pegawai dan 112 pegawai awam PDRM yang akan bertugas melalui lima fasa penugasan. 

“Kekuatan ini akan diselaraskan mengikut keperluan semasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Ab Rahaman berkata Polis Kontinjen Johor turut mendapat bantuan sumber manusia untuk menjaga ketenteraman awam, daripada unit atau elemen di bawah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Katanya, ia melibatkan 54 pegawai dan 701 anggota daripada Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Udara PDRM dan Pasukan Polis Marin (PPM). 

Beliau berkata PDRM Johor telah merangka penugasan yang dibahagikan kepada lima fasa utama iaitu fasa pra-pilihan raya, hari penamaan calon, tempoh berkempen, hari pengundian dan pasca pilihan raya.

“Bagi hari penamaan calon pada 27 Jun ini, seramai 4,832 pegawai, anggota dan pegawai awam akan digerakkan untuk memastikan proses berkenaan berjalan lancar termasuk aspek kawalan keselamatan dan trafik,” katanya. 

Ab Rahaman berkata sepanjang tempoh berkempen bermula selepas penamaan calon sehingga 11.59 malam, 10 Julai depan, seramai 3,903 pegawai dan anggota akan ditugaskan bagi memantau semua aktiviti kempen, ceramah, perhimpunan dan program politik

Bagi hari pengundian pada 11 Julai pula seramai 11,814 pegawai, anggota dan pegawai awam akan diatur gerak di seluruh negeri bagi membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan proses pengundian serta memastikan pengundi dapat menunaikan tanggungjawab mereka dalam keadaan selamat.

Beliau berkata polis juga akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk provokasi, ugutan, hasutan, perbuatan khianat, penyebaran berita palsu, ucapan berunsur kebencian kaum serta isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Sementara itu, katanya, seramai 12,710 pegawai dan anggota polis di Johor layak mengundi awal berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan SPR sehingga 31 Mei lepas.

— BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan