PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Sekatan import udang dari Thailand dan penurunan akses eksport ikan siakap ke negara itu dijangka membuka peluang kepada pengusaha tempatan meningkatkan pengeluaran, memperkukuh rantaian bekalan domestik serta mengurangkan kebergantungan terhadap sumber import.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata bekalan udang negara berada pada tahap stabil dan mencukupi bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan, manakala industri akuakultur domestik mempunyai kapasiti mencukupi untuk menampung kekosongan bekalan secara berperingkat.
“Sebarang perubahan dalam corak import tidak akan menjejaskan keterjaminan bekalan makanan kerana industri akuakultur domestik mempunyai kapasiti mencukupi untuk menampung kekosongan bekalan secara berperingkat.
“Pada masa yang sama, situasi ini membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk terus meningkatkan pengeluaran, memperkukuh rantaian bekalan domestik dan mengurangkan kebergantungan terhadap sumber import,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adnan berkata Malaysia sebelum ini mencatatkan prestasi eksport siakap yang memberangsangkan dengan Thailand kekal sebagai destinasi utama eksport negara.
Beliau berkata bagi tempoh 2022 hingga 2024, nilai eksport siakap Malaysia ke Thailand meningkat sebanyak 55.7 peratus bagi kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR), daripada RM38.21 juta kepada RM92.64 juta, dengan jumlah eksport meningkat daripada 4,838 tan metrik kepada 9,285 tan metrik.
"Pada 2024, Thailand menyumbang 80.6 peratus daripada keseluruhan nilai eksport global siakap Malaysia yang berjumlah RM114.99 juta, sekali gus memperlihatkan tahap kebergantungan pasaran yang tinggi terhadap negara itu," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata perubahan dasar perdagangan semasa memberi cabaran baharu kepada industri siakap tempatan apabila penurunan akses kepada pasaran eksport utama berpotensi meningkatkan tekanan terhadap pasaran domestik melalui lebihan bekalan, yang seterusnya boleh mempengaruhi harga jualan di peringkat ladang serta margin keuntungan pengusaha akuakultur.
"Langkah sekatan import udang dari Thailand dijangka memberi kesan kepada corak penawaran pasaran domestik, namun sebarang kekosongan bekalan dijangka dapat ditampung oleh pengeluaran udang tempatan yang kekal stabil dan berdaya saing," katanya.
Adnan berkata kapasiti pengeluaran domestik sedia ada, khususnya melalui subsektor akuakultur, diyakini mampu menampung peningkatan permintaan pasaran secara berperingkat tanpa menjejaskan keterjaminan bekalan makanan negara.
"Perkembangan semasa ini turut mewujudkan peluang strategik untuk memperkukuh industri hiliran melalui pembangunan produk nilai tambah, pengembangan pasaran baharu serta pengurangan kebergantungan terhadap sumber import bagi meningkatkan daya tahan industri perikanan negara dalam mendepani ketidaktentuan pasaran global," katanya.
Beliau menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan memperkukuh langkah intervensi strategik termasuk penerokaan pasaran alternatif, pengukuhan rantaian bekalan domestik serta sokongan berterusan kepada pemain industri bagi memastikan sektor perikanan negara kekal kompetitif, mampan dan berdaya tahan.
-- BERNAMA
