AM

JADUAL PADAT MENANTI PM ANWAR PADA LAWATAN KE KOTA MARMAR PUTIH

19/06/2026 08:10 AM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

ASHGABAT (TURKMENISTAN), 19 Jun (Bernama) -- Hari kedua dan terakhir lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkmenistan pada Jumaat, dipenuhi dengan beberapa pertemuan peringkat tinggi di negara Asia Tengah itu, yang terletak di pesisir timur Laut Kaspia.

Pagi ini, Perdana Menteri dijadualkan menghadiri majlis sambutan rasmi oleh Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov, disusuli dengan pertemuan empat mata dengan Berdimuhamedov.

Anwar dan Berdimuhamedov kemudian akan mengadakan mesyuarat dua hala dan menandatangani kenyataan bersama serta pertukaran perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimuktamadkan oleh kedua-dua kerajaan.

Kedua-dua pemimpin berkenaan dijangka membincangkan status semasa hubungan dua hala dan meneroka peluang untuk terus memperkukuh kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, minyak dan gas, pertanian dan komoditi, tenaga, pelancongan, pendidikan, digital, serta sains dan teknologi.

Mereka akan bertukar-tukar pandangan tentang isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, khususnya perkembangan di ASEAN dan rantau Asia Tengah.

Perdana Menteri dan Berdimuhamedov juga dijangka menandatangani kenyataan bersama bersempena dengan lawatan rasmi itu, serta menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting termasuk Perjanjian Perkhidmatan Udara dan MoU antara institut hal ehwal luar kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pemeteraian MoU antara Kementerian Pengangkutan dengan Perkhidmatan Negeri Turkmenistan, Mou antara Akademi Sains Malaysia dengan Akademi Sains Turkmenistan, serta beberapa dokumen berkaitan minyak dan gas.

Selepas itu, Anwar akan menghadiri majlis makan tengah hari yang diraikan oleh Berdimuhamedov di Istana Presiden, kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Turkmenbashi Ruhy.

Pada sebelah petang, Perdana Menteri akan merasmikan Forum Malaysia-Turkmenistan bersama-sama Berdimuhamedov di Dewan Perdagangan dan Industri Turkmenistan sebelum mengadakan sidang akhbar dengan media Malaysia bagi mengakhiri lawatan berkenaan.

Pada lawatan ini, Anwar diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, serta pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar. 

Ashgabat, ibu kota Turkmenistan, terkenal di seluruh dunia sebagai “Kota Marmar Putih” dan memegang rekod dunia dalam Guinness World Record sebagai bandar dengan kepadatan bangunan bersalut marmar putih tertinggi di dunia, merangkumi lebih 500 struktur sedemikian.

Bandar ini menampilkan seni bina monumental, perincian daun emas dan jalan raya yang luas dan bersih.

Negara ini bersempadan dengan Kazakhstan dan Uzbekistan di utara, Afghanistan di tenggara, Iran di selatan dan barat daya, serta Laut Kaspia di sebelah barat.

Laut Kaspia ialah danau terbesar di dunia dan merupakan lembangan endoreik yang terasing sepenuhnya daripada lautan dunia.

Pada 2025, Turkmenistan ialah rakan dagang keempat terbesar Malaysia daripada kalangan negara Asia Tengah.

Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dengan Turkmenistan berjumlah RM75.80 juta, dengan eksport Malaysia bernilai RM75.50 juta, mencatat peningkatan sebanyak 9 peratus daripada angka pada tahun sebelumnya.

Turkmenistan juga merupakan destinasi pelaburan utama Petronas, dengan jumlah pelaburan Petronas di negara ini mencecah RM52.73 bilion sejak 1996 hingga kini.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan