SHAH ALAM, 19 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor menawarkan pengurangan kadar sewa sebanyak 30 peratus kepada penjaja atau peniaga yang menyewa di premis pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa dua.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia bertujuan menggalakkan golongan usahawan untuk terus menjalankan perniagaan tanpa meningkatkan harga makanan kepada rakyat yang akan berlangsung selama enam bulan bermula Julai ini.
“Bantuan ini akan memanfaatkan seramai 21,234 peniaga dengan peruntukan RM4.5 juta daripada kerajaan negeri. Pengurangan ini akan diberikan secara automatik tanpa memerlukan permohonan daripada peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Amirudin berkata di bawah inisiatif sama kerajaan negeri juga bersedia untuk menawarkan moratorium kepada 1,012 penyewa di bawah skim Smart Sewa Selangor untuk tiga bulan bermula Oktober.
Beliau berkata moratorium berkenaan akan diselaraskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) mengikut permohonan daripada penyewa bagi memastikan mereka yang terlibat dapat menikmati kadar sewa konsisten pada kadar RM450 hingga RM1,300 sebulan.
“Bagi membantu penjawat awam yang sedang menjelaskan bayaran hutang pinjaman rumah di bawah Skim Pinjaman Perumahan Kerajaan Negeri, pentadbiran ini turut akan menawarkan peluang moratorium bayaran semula pinjaman rumah untuk tempoh tiga bulan bermula Oktober 2026 hingga Disember 2026.
“Bantuan ini bakal memanfaatkan 2,333 penjawat awam di Selangor mengikut permohonan,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata melihat kepada kepentingan beralih kepada industri tenaga yang bersih dan mampan, masyarakat berpeluang untuk menikmati rebat cukai taksiran 100 peratus bagi 2026 jika memasang teknologi hijau di kediaman masing-masing.
Beliau berkata antara teknologi berkenaan ialah pemasangan bumbung panel solar, sistem penuaian air hujan, proses kitar semula, sistem pengkomposan sisa makanan, unit pengecasan kenderaan elektrik yang dijangka mampu membantu Selangor menuju ke arah negeri neutral karbon pada masa hadapan.
“Setiap PBT akan menyediakan dana antara RM100,000, RM200,000 dan RM1.5 juta masing-masing untuk Majlis Daerah, Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaraya untuk manfaat rakyat mengikut proses permohonan yang akan diselaraskan dan dipermudahkan untuk urusan di peringkat PBT,” katanya.
Terdahulu, Amirudin membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa dua merangkumi 15 inisiatif dengan peruntukan RM209.26 juta sebagai langkah strategik mendepani krisis tenaga global susulan situasi di Asia Barat.
Beliau berkata inisiatif yang digariskan itu bukan hanya melibatkan bantuan berbentuk tunai malah turut melibatkan langkah pemerkasaan ekonomi secara holistik agar hasil diperoleh negeri berkenaan dapat dimanfaatkan oleh keseluruhan masyarakat.
-- BERNAMA
