BUTTERWORTH, 19 Jun (Bernama) -- Persiapan akhir RIUH Pi HAWANA 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini giat dijalankan menjelang pembukaan karnival itu malam ini menerusi konsert yang menampilkan barisan artis popular tanah air.
Tinjauan Bernama mendapati kerja akhir melibatkan pemasangan pentas, sistem audio dan pencahayaan serta persediaan reruai pameran dan jualan giat dilakukan bagi memastikan kelancaran program sepanjang penganjurannya.
Karnival tiga hari yang berlangsung hingga Ahad di tapak parkir PICCA@ Arena Butterworth membuka tirai menerusi konsert pembukaan dari 8 malam hingga 12 tengah malam hari ini manakala program pada hujung minggu bermula 4 petang hingga 12 tengah malam.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dijangka menghadiri konsert pembukaan malam ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Ventures Zainol Haqim Zainol Rashid berkata sambutan awal setakat ini amat menggalakkan dengan maklum balas positif daripada peserta, penggiat industri kreatif dan artis terlibat.
“Kami meletakkan sasaran minimum sebanyak 30,000 pengunjung sepanjang penganjuran festival yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.
“Kami berharap sambutan lebih meriah sepanjang tiga hari penganjuran daripada penduduk Pulau Pinang dan juga warga utara,” katanya ketika ditemu bual sempena RIUH Pi HAWANA 2026 menerusi Apa Khabar Malaysia di Bernama TV hari ini.
Selain konsert, karnival itu menawarkan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan muzik, aktiviti seni dan budaya, jualan makanan serta produk kreatif tempatan selain program interaktif untuk seisi keluarga.
Pentas RIUH Pi HAWANA turut diserikan dengan 18 persembahan muzik secara langsung yang menampilkan barisan artis ternama serta bakat tempatan termasuk Exists, Bunkface, Masdo, Sakura Band, Fugo, Budak Nakal Hujung Simpang dan Chelsia Ng.
Karnival RIUH Pi HAWANA menghimpunkan lebih 24 jenama produk kreatif tempatan dan 20 vendor makanan serta minuman selain menawarkan bengkel interaktif yang memberi peluang kepada orang ramai meneroka pelbagai aktiviti kreatif.
“Kami melihat maklum balas yang diterima setakat ini agak positif, daripada artis yang terlibat yang turut berkongsi keterujaan untuk bersama-sama menjayakan program tersebut," katanya.
HAWANA yang diperkenalkan pada 2018 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi peneraju.
Esok, kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara dijangka berkumpul di Pulau Pinang bagi menghadiri Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus menjadi medan pertemuan terbesar warga media sempena sambutan HAWANA tahun ini.
-- BERNAMA
