SHAH ALAM, 19 Jun (Bernama) -- Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) mengumumkan pelantikan Aslynda Mohd Dahlan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa serta-merta.
PADAT dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu bagi meneruskan agenda pemerkasaan warisan Selangor serta memperkukuh peranannya sebagai institusi peneraju dalam bidang permuziuman, kebudayaan dan warisan negeri.
Menurut kenyataan itu, Aslynda mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran awam, perancangan pembangunan negeri, pengurusan kewangan, pembangunan dasar strategik kerajaan serta tadbir urus organisasi.
“Sebelum menyertai PADAT, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor termasuk sebagai Ketua Penolong Pegawai Kewangan Negeri di Perbendaharaan Negeri Selangor.
“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) yang memberinya pengalaman dan pendedahan langsung dalam pembangunan sektor kebudayaan, warisan serta industri kreatif negeri,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Aslynda juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Wanita Berdaya Selangor (WBS) yang memantau tadbir urus syarikat dalam keadaan yang memuaskan pihak kerajaan negeri.
PADAT memaklumkan pihak lembaga pengarah, barisan pengurusan serta seluruh warga kerjanya mengalu-alukan pelantikan Aslynda dan yakin pengalaman serta kepakaran dimiliki beliau akan terus memperkukuh usaha pemeliharaan, pemuliharaan dan pengembangan warisan Selangor.
“Di bawah kepimpinan beliau, PADAT akan terus memperkasakan institusi muzium sebagai pusat pendidikan, penyelidikan dan pelancongan budaya yang dinamik di samping memperluas usaha pendokumentasian, pemuliharaan dan promosi warisan negeri agar kekal relevan kepada masyarakat masa kini dan generasi akan datang.
“Pelantikan ini juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan khazanah sejarah, budaya dan adat Melayu Selangor terus dipelihara, dihargai dan diwariskan sebagai identiti serta kebanggaan negeri,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
