KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Kepercayaan awam kekal sebagai aset paling berharga badan kehakiman dan perlu dipupuk menerusi integriti, akauntabiliti serta amalan yang konsisten, kata Ketua Hakim Negara Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Mengimbau legasi bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi, beliau berkata pemimpin badan kehakiman perlu bersedia membuat keputusan sukar serta berusaha membina dan meninggalkan institusi yang lebih kukuh dan mendapat kepercayaan lebih tinggi untuk generasi akan datang.
“Kepercayaan awam tidak diwarisi atau diperoleh secara automatik, sebaliknya dibina secara beransur-ansur melalui amalan yang konsisten serta integriti dalam setiap keputusan kehakiman di semua peringkat sistem mahkamah.
“Beliau (Tun Zaki) meraih kepercayaan itu, mempertahankannya dan meninggalkan institusi ini dalam keadaan lebih layak menerima kepercayaan tersebut berbanding ketika beliau mula menerajuinya,” katanya ketika berucap pada Syarahan Sulung Tun Zaki Azmi bertajuk 'Leading with Courage, Stewarding Justice' di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini hari ini.
Ketua badan kehakiman negara itu berkata setiap individu diamanahkan dengan tanggungjawab kepimpinan perlu menyedari nilai sumbangan mereka, sambil menegaskan bahawa keputusan dibuat di sebalik tabir, yang sering kali dalam keadaan tertekan dan tanpa sebarang pengiktirafan, memainkan peranan penting dalam memperkukuh institusi berkenaan.
“Saya ingin menyampaikan kepada setiap individu dalam dewan ini yang memikul tanggungjawab, pernah merasai beban memimpin institusi, dan pernah bertanya kepada diri sendiri sama ada mereka meninggalkan keadaan lebih baik daripada ketika mereka menerimanya, bahawa usaha anda amat bermakna.
“Keputusan anda buat di bilik-bilik tertutup, dalam keadaan tertekan dan tanpa sebarang pujian, amat penting. Kebijaksanaan terhasil melalui keputusan tersebut bukan untuk disimpan sendiri. Ia milik kita bersama, milik komuniti ini dan milik generasi pemimpin akan datang yang bakal mewarisi apa kita bina di sini serta berhak mewarisi sesuatu setimpal dengan dedikasi mereka,” katanya.
Mengulas mengenai objektif siri syarahan itu, beliau berkata Syarahan Tun Zaki mengenai Kepimpinan dan Tadbir Urus serta Inisiatif Penyelidikan Kepimpinan dan Tadbir Urus diwujudkan bagi menggalakkan dialog bermakna mengenai kepimpinan, selain membangunkan penyelidikan praktikal yang relevan dengan realiti kepimpinan institusi itu.
“Syarahan Tun Zaki mengenai Kepimpinan dan Tadbir Urus bukan sekadar siri berbentuk istiadat. Ia usaha serius dan berterusan untuk mewujudkan dialog dinamik antara mereka yang pernah memimpin dan mereka sedang bersiap sedia untuk memimpin, sekali gus menghubungkan pengalaman serta prinsip dalam ruang yang memberi nilai kepada kedua-duanya.
“Pada masa sama, Inisiatif Penyelidikan Kepimpinan dan Tadbir Urus akan melaksanakan usaha lebih mendalam dan jangka panjang dengan membangunkan kajian ilmiah teliti, jujur serta berkait secara langsung dengan realiti memimpin institusi dalam keadaan mencabar. Ia bukan teori semata-mata, sebaliknya pengetahuan yang boleh dimanfaatkan dan diwariskan kepada generasi seterusnya,” katanya.
Platform syarahan awam itu dinamakan sempena Ketua Hakim Negara yang keenam, Tun Zaki Azmi, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan berterusan beliau dalam aspek kepimpinan, tadbir urus dan tanggungjawab institusi berkenaan.
Inisiatif Kepimpinan dan Tadbir Urus merupakan platform jangka panjang yang didedikasikan untuk memajukan aspek kepimpinan, tadbir urus, pengurusan institusi serta pemupukan kepercayaan awam.
Diasaskan atas kepercayaan bahawa pengajaran dan pengalaman kepimpinan wajar dipelihara serta dikongsi, inisiatif itu menghimpunkan kebijaksanaan dan pengalaman tokoh-tokoh kepimpinan terkemuka serta menterjemahkannya menjadi khazanah ilmu yang berkekalan untuk dimanfaatkan generasi akan datang.
-- BERNAMA
