AM

GALERI FOTO HAWANA 2026 IMBAU SEJARAH SAMBUTAN, PAPAR KISAH PENERIMA TABUNG KASIH

19/06/2026 04:29 PM

​BUTTERWORTH, 19 Jun (Bernama) -- Sejarah penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) dan kisah penerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA kini diabadikan menerusi sebuah galeri foto khas yang didirikan sempena sambutan Majlis Kemuncak HAWANA 2026 di sini.

​Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata galeri itu dibahagikan kepada dua segmen utama iaitu sorotan HAWANA sejak penganjurannya dari 2018 hingga 2025 serta paparan visual penerima bantuan Tabung Kasih@HAWANA.

Nur-ul Afida yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 berkata pameran berkenaan menjadi platform penting untuk menzahirkan peranan aktif Bernama selaku urus setia Tabung Kasih@HAWANA dan agensi pelaksana sambutan, yang selama ini lebih banyak bertindak di sebalik tabir melaporkan berita.

“Mesej utama pameran ini sudah semestinya untuk menghargai peranan media dan penyertaan mereka dalam sambutan yang sememangnya diadakan khusus untuk mereka.

“Pada masa yang sama, kita mahu memaklumkan bagaimana inisiatif ini berjaya membantu rakan-rakan media serta golongan veteran yang diuji dengan isu kesihatan serta kesukaran hidup, inilah yang kita nak tampilkan,” katanya selepas meninjau persiapan Majlis Kemuncak HAWANA 2026 di sini hari ini.

-- LAGI

 

HAWANA-GALERI 2 (AKHIR) BUTTERWORTH

 

Beliau berkata paparan visual berkenaan juga diharap dapat mengimbau kenangan dan pengalaman pengamal media yang pernah terlibat dalam sambutan HAWANA sebelum ini.

Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth esok dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Editor Meja Foto Bernama Mohamad Bakri Darus berkata pemilihan gambar dilakukan secara teliti oleh pasukan Bernama dan setiap foto disertakan dengan kapsyen dwibahasa dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bagi memudahkan pengunjung memahami konteks paparan.

​“Di sini, kita boleh mendapat maklumat bahawa HAWANA ini juga membantu industri kewartawanan dan menunjukkan bagaimana media sentiasa bergerak bersama dengan masyarakat,” katanya.

Mohamad Bakri berkata pameran berkenaan turut mengimbau lokasi penganjuran HAWANA sebelum ini iaitu Kuala Lumpur (2018 dan 2025), Melaka (2022), Ipoh, Perak (2023) dan Kuching, Sarawak (2024).

​Antara pengisian program utama yang dipaparkan ialah Majlis Bersama Rakan Strategik, Forum Media, Pesta Pantun HAWANA-DBP, Karnival dan Pameran HAWANA serta Sukan HAWANA.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan