KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Skuad hoki lelaki kebangsaan mara ke perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam Kejohanan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Lelaki 2025-2026 selepas menewaskan Amerika Syarikat (AS) 4-2 di Cape Town, Afrika Selatan hari ini.
Pada perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan itu, AS membuka jaringan seawal minit pertama menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Sekayi Charasika, sebelum Alberto Montilla menggandakan kelebihan mereka menerusi jaringan padang pada minit ke-17.
Tersentak dengan dua gol awal pasukan lawan, skuad Speedy Tigers mula memperkemaskan permainan dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-32.
Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal kemudian mengikat kedudukan 2-2 hasil jaringan padang pada minit ke-39 untuk menghidupkan semula peluang skuad negara.
Momentum kebangkitan Malaysia diteruskan apabila penyerang berpengalaman Faizal Saari meledakkan gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-52 sebelum Muhamad Faris Harizan melengkapkan kemenangan 4-2 menerusi satu lagi jaringan pukulan sudut penalti tiga minit kemudian.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia kini menunggu pemenang perlawanan antara Ireland dan Scotland untuk aksi penentuan tempat kelima dan keenam yang dijadualkan berlangsung esok pada 8.30 malam waktu Malaysia.
-- BERNAMA
