KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Sebanyak 147 calon dalam kalangan bekas anggota tentera hadir sesi temu duga fizikal bagi pemilihan Warden Luar Sepenuh Masa Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang berlangsung pada Isnin dan Selasa lepas di Inkubator Teknologi Makanan MARA Kepong.
Menerusi hantaran di Facebook, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kesemua calon itu terlebih dahulu berjaya melepasi dua fasa saringan secara dalam talian sebelum dipanggil untuk temu duga berkenaan.
Beliau berkata semua calon perlu melalui tiga komponen penilaian, iaitu Ujian Pemeriksaan Indeks Jisim Badan (BMI), Ujian Bleep Test dan temu duga bersemuka bagi menentukan merit serta kelayakan untuk dilantik sebagai Warden Luar Sepenuh Masa MRSM yang akan memulakan tugas pada 1 Julai ini.
“Menjadi warden MRSM bukan sekadar menjaga disiplin dan keselamatan pelajar. Mereka perlu memahami dan menghayati Falsafah Pendidikan MARA untuk melahirkan generasi ulul albab yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi turut memiliki sahsiah terpuji, akhlak yang baik, integriti yang tinggi serta tinggi ilmu ukhrawi yang bermanfaat.
“Warden adalah ibu dan ayah kedua kepada anak-anak MRSM yang berperanan sebagai pembimbing, pendidik dan murabbi dalam membentuk generasi pewaris negara yang cemerlang dunia dan akhirat,” katanya.
Asyraf Wajdi turut berharap usaha itu dapat membendung budaya buli, salah laku disiplin dan gejala sosial serta membentuk persekitaran MRSM yang lebih selamat, kondusif dan subur dengan “biah solehah” yang menekankan nilai adab, hormat-menghormati, kasih sayang, ukhwah serta budaya menuntut ilmu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata 162 calon warden bekas tentera wanita akan menjalani sesi temu duga secara fizikal pada minggu hadapan.
-- BERNAMA
